MANGSA yang diselamatkan dalam kes penculikan melibatkan tuntutan wang tebusan RM7 juta pada Sabtu lalu kini ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, mangsa lelaki berusia 44 tahun itu ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman semalam selepas siasatan mendapati terdapat elemen pengedaran dadah dalam kejadian itu.
Selain itu, menurut beliau, pihaknya turut membuat tangkapan baharu membabitkan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an semalam yang dipercayai terbabit dalam kes culik itu.
“Hasil siasatan JSJ dengan bantuan JSJN Bukit Aman, kita mengenalpasti elemen pengedaran dadah atau sindiket yang terbabit dalam pengedaran dadah.
“Susulan itu JSJN membuat tangkapan ke atas mangsa berusia 44 tahun itu mengikut LLPK 1985,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya hari ini.
Mengulas lanjut, Kumar berkata, semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes komersial dan setakat ini dipercayai mangsa turut terbabit dalam sindiket dadah.
“Ketika ditahan, lelaki itu juga didapati positif dadah hasil ujian awal saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya,” katanya.
Kumar berkata, selain itu, pihaknya turut menahan dua lagi lelaki berusia 30-an yang dipercayai terbabit dalam kes culik itu di sekitar Selangor, semalam.
Katanya, seorang daripada dua individu itu adalah bekas anggota polis yang sudah dipecat pada 2023 kerana terbabit kes dadah.
“Kedua-dua lelaki terbabit direman 10 hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya.
Bagaimanapun kes berkenaan masih dalam siasatan lanjut dan pihaknya masih mengesan individu lain yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.
Terdahulu media melaporkan, enam individu ditahan tidak sampai 48 jam selepas menculik seorang lelaki dan meminta wang tebusan RM7 juta bagi membebaskan mangsa.
Kumar dilaporkan berkata, polis menerima laporan berhubung penculikan itu daripada isteri mangsa.
Enam individu itu terdiri daripada lima lelaki tempatan dan seorang wanita tempatan berusia antara 30 hingga 46 tahun.





