INSTITUT Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) terus memperkukuh peranannya bukan sahaja sebagai peneraju penyelidikan pertanian negara, malah sebagai institusi yang menyatukan komuniti melalui penganjuran Majlis Iftar Silaturrahim MARDI bersama Kelab Sahabat Kaki Takir.
Majlis yang memasuki tahun keempat penganjurannya ini menghimpunkan kira-kira 600 peserta, terdiri daripada kakitangan MARDI termasuk pengurusan tertinggi serta ahli-ahli kelab bertempat di Dewan Tan Sri Yusof Hashim, Ibu Pejabat MARDI di Serdang, Selangor.
Ketua Pengarah MARDI, Datuk Mohamad Zabawi Abd Ghani berkata, program seumpama ini mencerminkan komitmen berterusan MARDI dalam memperkukuh hubungan antara warga institusi dan komuniti luar, khususnya dalam mengimarahkan bulan Ramadan.
“Ini merupakan tahun keempat MARDI berkolaborasi bersama rakan ukhuwah kami, Kelab Sahabat Kaki Takir. Program ini bukan sekadar majlis berbuka puasa, tetapi platform untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara kakitangan MARDI dan komuniti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, MARDI akan terus membuka ruang kerjasama bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menjayakan program berimpak sosial yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Majlis ini turut diserikan dengan aktiviti gotong-royong (rewang) yang melibatkan penyediaan juadah berbuka puasa secara bersama, termasuk penyembelihan seekor lembu sebagai hidangan utama, mencerminkan semangat kebersamaan dan nilai tradisi yang terus dipelihara.
Sementara itu, Penasihat Kelab Sahabat Kaki Takir, Man Mahmud menyifatkan, kerjasama berterusan bersama MARDI sebagai bukti bahawa agensi kerajaan berteraskan penyelidikan juga mampu memainkan peranan penting dalam aktiviti kemasyarakatan.
“Walaupun MARDI dikenali sebagai institusi penyelidikan pertanian, program seperti ini membuktikan bahawa mereka juga aktif dalam mengeratkan hubungan ukhuwah bersama komuniti. Ia memberi peluang kepada masyarakat untuk lebih memahami peranan MARDI dalam pembangunan sektor pertanian negara,” katanya.
Dalam semangat Ramadan yang penuh keberkatan, majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan Ramadan kepada 46 anak-anak penghuni Pondok Jamiul Uluum, Seri Kembangan, hasil kutipan derma ahli kelab sebagai usaha menyantuni golongan memerlukan dan menyemai nilai keprihatinan sosial.
Program kemudiannya diteruskan dengan acara berbuka puasa dan solat Maghrib secara berjemaah.
Penganjuran Majlis Iftar Silaturrahim ini mencerminkan pendekatan holistik MARDI dalam memperkukuh hubungan institusi dengan masyarakat, selari dengan peranannya dalam menyumbang kepada pembangunan negara bukan sahaja dari aspek penyelidikan dan inovasi, tetapi juga pembangunan sosial dan komuniti.


