PENGUMUMAN dividen Lembaga Tabung Haji (TH) yang mencatat prestasi terbaik dalam tempoh lapan tahun disifatkan sebagai khabar gembira buat umat Islam di negara ini menjelang Aidilfitri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu mencerminkan hasil pembaharuan yang memberi penekanan kepada aspek tata kelola serta usaha memperbetulkan asas institusi berkenaan.

“Alhamdulillah, pengumuman dividen Tabung Haji (TH) hari ini yang mencatat prestasi terbaik dalam tempoh lapan tahun hadir sebagai khabar gembira buat umat Islam menjelang Aidilfitri.
“Pencapaian ini mencerminkan hasil pembaharuan yang menekankan tata kelola, memperbetulkan asas institusi serta mengembalikan disiplin dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan TH,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Perdana Menteri memaklumkan, pembaharuan itu juga adalah ikhtiar untuk mengangkat dan memartabatkan semula TH selaras dengan semangat asal penubuhannya.
“Pembaharuan ini juga adalah ikhtiar untuk kembali mengangkat dan memartabatkan TH selaras dengan semangat asal penubuhannya yang berteraskan pengurusan amanah dan tanggungjawab terhadap kepentingan umat Islam.
“Semoga khabar baik ini menambah rasa syukur dan ketenangan dalam menyambut Aidilfitri, serta memperkukuh keyakinan umat terhadap usaha kita untuk terus memelihara institusi ini demi kepentingan bersama, Insya-Allah,” katanya.


