Mayat lelaki warga asing disyaki penyeludup beras ditemukan

MAYAT seorang lelaki warga asing disyaki penyeludup beras ditemukan di permukaan Sungai Golok berhampiran Kampung Derdap, Pengkalan Kubor di Tumpat petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor, Mohd Zamri Omar berkata, mayat warga Thailand itu ditemukan jam 6.30 petang, kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan jatuh.

“Pihak kami menjalankan pencarian lelaki itu bermula pagi tadi dengan kekuatan tujuh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan melakukan dua kali selaman.

“Bagaimanapun ketika operasi hampir ditangguhkan petang tadi, mayat lelaki itu ditemukan di permukaan Sungai Golok.

“Mayat itu diserahkan kepada pihak berkuasa Thailand untuk tindakan lanjut,” kata Mohd Zamri ketika dihubungi hari ini, lapor BH.

Media hari ini melaporkan, seorang penyeludup beras dikhuatiri lemas selepas terjun ke Sungai Golok ketika cuba melarikan diri daripada serbuan Pasukan Gerakan Am (PGA) berhampiran Stor Haram Pok Ngoh di Pisau Raut, Tumpat semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi dilaporkan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.25 petang ketika anggota Cawangan Risik Batalion 8 PGA menjalankan rondaan menerusi Op Taring Wawasan.

Anggota PGA 8 terdahulu mengesan sebuah perahu dinaiki lelaki berkenaan bersama seorang rakannya dalam keadaan mencurigakan berhampiran tebing Sungai Golok.

Mereka kemudian dikesan terjun ke sungai itu sebaik saja menyedari kehadiran pasukan keselamatan berkenaan sebelum cuba berenang ke arah tebing sungai di negara jiran.

Seorang daripada mereka berjaya meloloskan diri ke tebing sebelah sungai negara Thailand, manakala seorang lagi hilang daripada pandangan dipercayai lemas.

Pemeriksaan lanjut anggota PGA 8 ke atas perahu dinaiki mereka selepas itu berjaya menemukan 1,178 kilogram (kg) beras dan 100kg beras pulut dipercayai diseludup dari Thailand.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here