SURUHANJAYA Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang menegaskan bahawa setiap kebebasan datang bersama tanggungjawab, khususnya dalam penggunaan media sosial.
Dalm satu kenyataan, MCMC menegaskan bahawa kebebasan bersuara dan mengkritik perlu diamalkan secara beradab serta bertanggungjawab.
‘’Perbezaan pandangan tidak harus dijadikan alasan untuk melakukan sebarang bentuk buli siber, termasuk gangguan, ugutan, penghinaan, serangan peribadi atau penyebaran maklumat peribadi yang boleh mengancam keselamatan dan maruah individu.
‘’Perbuatan sedemikian tidak boleh dinormalisasikan dalam masyarakat yang menghormati hak bersuara dan nilai saling menghormati,’’ kata kenyataan itu.
Menurut MCMC, Suruhanjaya itu turut mengambil perhatian terhadap kebimbangan Seri Paduka Baginda mengenai penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan kandungan palsu serta penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan fitnah dan kebencian.
‘’MCMC akan terus memperkukuh usaha mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat melalui kerjasama dengan penyedia platform, agensi berkaitan dan masyarakat. Sebarang kandungan yang disyaki melanggar undang-undang akan diteliti dan tindakan sewajarnya diambil berdasarkan peruntukan undang- undang yang berkuat kuasa,’’ kata MCMC.
MCMC menyeru rakyat Malaysia agar menghayati titah Seri Paduka Baginda dengan menghormati perbezaan pandangan, menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi serta menjaga adab dan maruah orang lain dalam setiap interaksi dalam talian.





