KEMENTERIAN Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini melancarkan kempen ‘Beli Tiket Selamat’ (BTS) sebagai usaha memperkukuh perlindungan pengguna daripada ancaman penipuan tiket konsert dan acara hiburan yang semakin membimbangkan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, inisiatif pertama seumpamanya di Malaysia itu dilaksanakan ketika negara memasuki musim acara utama Kuala Lumpur atau KL Headline Season yang dijangka menyaksikan permintaan tinggi terhadap tiket persembahan berskala besar.
“Kempen ini diwujudkan khusus bagi melindungi rakyat daripada ancaman penipuan tiket acara. Tidak mustahil akan ada iklan-iklan teknologi kecerdasan buatan (AI), deepfake untuk menjual tiket acara,” katanya ketika berucap pada majlis Prapelancaran Kempen Beli Tiket Selamat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur malam ini.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Menurut Fahmi, penyebaran iklan tiket palsu dalam media sosial dan aplikasi pemesejan berlaku dengan pantas, malah ada yang muncul hanya beberapa minit selepas sesuatu acara diumumkan terutama apabila tiket rasmi habis dijual.
Jelasnya, portal belitiketselamat.my akan menjadi platform pertama di Malaysia bagi meningkatkan kesedaran tentang penipuan tiket serta membantu laporan mangsa penipuan dalam talian.
Tambahnya, tiket keluaran rakan kerjasama BTS akan memaparkan mesej nasihat keselamatan, manakala kaunter bantuan turut disediakan di lokasi acara bagi membantu mangsa mendapatkan laporan awal Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) dan panduan lanjut dalam tempoh 15 minit.
KL Headline Season 2026 dijangka memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab utama hiburan langsung di Asia menerusi penganjuran 25 konsert antarabangsa sepanjang tahun ini melibatkan artis bertaraf dunia dengan menyasarkan kehadiran lebih 500,000 peminat tempatan dan antarabangsa, sejajar aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.


