SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus memperkukuh agenda pendigitalan negara menerusi peluasan inisiatif Cashless Society ke Melaka, Wilayah Persekutuan dan Johor melalui penganjuran Sesi Meja Bulat bersama agensi Persekutuan dan Negeri, pemain industri serta wakil komuniti di Cyberjaya, baru-baru ini.
Bertemakan `Kepercayaan Digital dan Pemerkasaan Komuniti’, sesi ini menjadi platform strategik bagi membincangkan keutamaan dalam ekosistem digital, termasuk keselamatan siber, literasi digital, perlindungan pengguna serta pengukuhan keyakinan terhadap transaksi tanpa tunai.
Disertai oleh 70 wakil organisasi, Sesi Meja Bulat ini dijangka meningkatkan literasi dan kepercayaan digital, membina keyakinan awam serta membolehkan komuniti luar bandar dan terpencil mengendali persekitaran digital dengan selamat, di samping menyelaraskan objektif dan jangkaan bagi Inisiatif Cashless Society Fasa 4 2026 bersama Pengurus NADI dan pihak berkepentingan.
Menurut MCMC, dilancarkan pada 2023 di 28 NADI, inisiatif Cashless Society bertujuan mempercepat penerimagunaan teknologi digital di peringkat akar umbi.

oleh MCMC pada majlis yang turut dihadiri oleh Pengarah Urusannya, Abdul Karim Fakir Ali
(tengah).
“Setakat tahun 2025, pelaksanaannya telah diperluas ke 174 lokasi di seluruh negara, mencerminkan komitmen berterusan MCMC dalam memperkasa komuniti digital.
“Pada 2025, inisiatif ini diperkasakan dengan elemen keselamatan Internet selaras dengan Kempen Internet Selamat serta pembangunan kapasiti komuniti melalui program Train-the-Trainer dalam kalangan Pengurus NADI, di samping meningkatkan kesedaran mengenai risiko dan penipuan dalam talian selaras dengan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA),” kata kenyataan MCMC yang dikeluarkan hari ini.
Menurut kenyataan itu, melalui pendekatan pembayaran tanpa tunai sebagai pintu masuk kepada perkhidmatan digital, MCMC memanfaatkan peluasan liputan dan peningkatan kualiti Internet di bawah JENDELA bagi memastikan komuniti mampu mengakses dan memanfaatkan teknologi secara optimum.
Katanya, bagi tempoh antara tahun 2023 sehingga 2025, inisiatif Cashless Society telah berjaya menarik penglibatan seramai 62,574 pengunjung, menghasilkan 26,022 transaksi tanpa tunai, melibatkan 4,572 pedagang digital baharu di premis digital serta melaksanakan 1,348 aktiviti kesedaran berasaskan empat (4) tonggak Cashless Society.
MCMC turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik seperti Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Simpanan Nasional, TNG Digital, Setel dan TM Unifi serta para Pengurus NADI atas komitmen berterusan mereka dalam menjayakan agenda masyarakat tanpa tunai negara.


