POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan media sosial sebagai platform perdebatan provokatif yang melanggar undang-undang, khususnya membabitkan isu sensitif berkaitan institusi diraja dan kerajaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M Kumar berkata, trend penyebaran hantaran berbaur hasutan dilihat semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja menjejaskan keharmonian ruang siber, malah berpotensi mencetuskan ketegangan dalam masyarakat jika tidak dibendung.
“Berdasarkan statistik JSJ, sebanyak 30 kes dibuka untuk siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 bagi tempoh Januari hingga Mac 2026.
“Siasatan merangkumi perbuatan atau perkataan yang mempunyai kecenderungan menghasut terhadap institusi diraja, isu perkauman serta pentadbiran kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan kebebasan bersuara bukan lesen untuk menyebarkan penghinaan, fitnah atau provokasi yang boleh menggugat ketenteraman awam.
Katanya, individu yang disabitkan kesalahan di bawah akta berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab serta tidak menyalahgunakan kemudahan digital.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang demi memastikan ruang digital kekal selamat dan harmoni,” katanya.


