
Oleh : Dr. Mohd Firdaus Abdullah
Bahagian Kedua

SETELAH lebih empat dekad berlalu, saya juga melihat keperluan untuk menilai semula cara kita mengingati dan menulis sejarah Memali. Kertas Putih kerajaan, rekod perbahasan Parlimen, keterangan mereka yang terselamat, pengalaman keluarga mangsa dan ingatan masyarakat setempat merupakan sumber yang perlu diteliti secara bersama.
Dokumen rasmi penting untuk memahami pendirian dan tindakan kerajaan pada ketika itu, tetapi ia tidak seharusnya menutup ruang penelitian terhadap pengalaman pihak lain.
Pada masa yang sama, keterangan lisan juga perlu dinilai secara kritis kerana ingatan manusia boleh dipengaruhi oleh pengalaman, masa dan kedudukan politik. Tanggungjawab ahli sejarah ialah mempertemukan pelbagai sumber tersebut, membezakan fakta daripada dakwaan serta menjelaskan perkara yang masih belum dapat dipastikan.
Bagi saya, usaha memahami Memali tidak sepatutnya bertujuan menghidupkan semula permusuhan politik lama. Sebaliknya, penelitian sejarah perlu memberikan ruang kepada pemahaman yang lebih menyeluruh, pengiktirafan terhadap penderitaan keluarga yang terlibat dan pembinaan keyakinan bahawa tragedi seumpamanya tidak akan berulang.
Kita juga perlu berhati-hati agar peristiwa yang melibatkan kehilangan nyawa tidak terus dijadikan bahan untuk memperoleh keuntungan politik semasa. Terdapat perbezaan antara menggunakan sejarah untuk menuntut pertanggungjawaban dengan memperalatkan sejarah untuk mengekalkan permusuhan.
Akhirnya, saya ingin menegaskan bahawa pengajaran terbesar Memali bukan sekadar tentang bahayanya perpecahan politik dan agama, tetapi tentang tanggungjawab negara dan masyarakat untuk memastikan perpecahan tersebut tidak berkembang menjadi kekerasan.
Negara mesti memiliki keupayaan menguatkuasakan undang-undang, tetapi pada masa yang sama perlu membina kepercayaan, mendengar keresahan masyarakat dan memelihara nyawa. Pemimpin agama serta politik pula mesti menyedari bahawa ucapan dan keputusan mereka boleh membawa akibat yang tidak semestinya dapat dikawal selepas sesuatu konflik tercetus.
Sejarah Memali mengingatkan kita bahawa sesuatu tragedi tidak bermula pada saat tembakan dilepaskan. Ia mempunyai sejarah yang lebih panjang, terbentuk melalui keputusan, tindakan, kegagalan komunikasi dan hubungan yang semakin tegang antara pihak-pihak yang terlibat.
Pada hemat saya, tragedi yang berlaku lebih 40 tahun lalu itu sepatutnya mengajar kita bahawa kekuatan sesebuah negara bukan semata-mata terletak pada keupayaannya mengawal masyarakat, tetapi juga pada kebijaksanaannya mengelakkan rakyat dan anggota keselamatannya daripada kehilangan nyawa.
Jika selepas empat dekad kita masih sekadar berbahas tentang pihak yang perlu dipersalahkan tanpa memahami bagaimana tragedi itu boleh berlaku, bermakna kita masih belum mengambil pengajaran sejarah sepenuhnya. Sejarah seharusnya membantu kita membina masa depan yang lebih baik, bukannya mewariskan permusuhan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya. Sejauh mana perbezaan fahaman politik dan agama yang tidak diurus dengan baik boleh mencetuskan perpecahan sehingga membawa kepada konflik serta pertumpahan darah?
Pada pandangan saya, perbezaan fahaman politik dan agama boleh membawa kepada perpecahan yang sangat serius, bahkan dalam keadaan tertentu mampu mencetuskan keganasan, pertumpahan darah dan konflik yang berpanjangan sehingga beberapa generasi.
Namun, saya ingin menegaskan bahawa perbezaan fahaman itu sendiri tidak semestinya menjadi punca keganasan. Persoalan yang lebih penting ialah bagaimana perbezaan tersebut ditafsirkan, dimanipulasi dan diurus oleh pemimpin, institusi negara serta masyarakat.
Sejarah memperlihatkan bahawa masyarakat yang mempunyai kepelbagaian fahaman tidak semestinya berakhir dengan konflik. Sebaliknya, keganasan lebih mudah tercetus apabila perbezaan politik atau agama mula digunakan untuk membezakan antara kelompok yang dianggap benar dengan kelompok yang dianggap salah, antara mereka yang dilihat mempunyai hak untuk memimpin dengan mereka yang dinafikan keabsahannya.
Dalam keadaan sedemikian, lawan politik tidak lagi dianggap sebagai pihak yang mempunyai pandangan berbeza, tetapi secara beransur-ansur digambarkan sebagai ancaman terhadap agama, masyarakat atau negara. Pada peringkat awal, pertentangan ini mungkin hanya berlaku melalui ucapan politik, perdebatan agama atau persaingan mendapatkan sokongan masyarakat.
Namun, apabila bahasa permusuhan semakin diterima, hubungan sosial mula terjejas. Masyarakat boleh berpecah mengikut kelompok politik dan agama, hubungan kekeluargaan menjadi renggang, manakala institusi yang sepatutnya menyatukan masyarakat turut terheret ke dalam pertentangan. Keadaan menjadi lebih berbahaya apabila wujud pihak yang mula menganggap penggunaan kekerasan sebagai sesuatu yang boleh dibenarkan demi mempertahankan perjuangan masing- masing.
Dalam konteks Malaysia, Peristiwa Memali pada 19 November 1985 memberikan satu pengalaman sejarah yang penting untuk memahami persoalan ini. Tragedi tersebut berlaku dalam suasana persaingan politik Melayu yang cukup tegang pada dekad 1980-an, khususnya apabila perbezaan pendirian antara UMNO dengan Pas turut dikaitkan dengan persoalan agama dan keabsahan politik.
Walau bagaimanapun, saya tidak berpendapat bahawa Memali boleh dijelaskan hanya melalui pertentangan fahaman agama. Kita juga perlu meneliti penggunaan undang-undang keselamatan, hubungan masyarakat dengan pihak berkuasa, keadaan sosioekonomi penduduk setempat dan keputusan yang dibuat sebelum operasi keselamatan dilaksanakan.
Seperti jawapan kepada soalan sebelumnya, jika kita meneliti Kertas Putih kerajaan pada tahun 1986 serta perbahasan Dewan Rakyat pada Mac tahun yang sama, kita dapat melihat bahawa penjelasan mengenai tragedi tersebut telah dipertikaikan sejak awal.
Kerajaan menekankan aspek penguatkuasaan undang-undang dan ancaman keselamatan, sedangkan beberapa ahli Parlimen turut membangkitkan persoalan tentang kewajaran pendekatan operasi, kemiskinan masyarakat Baling dan kemungkinan pertumpahan darah dapat dielakkan.
Bagi saya, perbezaan penjelasan ini menunjukkan bahawa sesuatu konflik tidak boleh difahami hanya berdasarkan pertentangan ideologi. Tindakan institusi dan pengalaman masyarakat yang terlibat juga perlu diberikan perhatian.
*Bersambung esok
*Penulis adalah pensyarah Kanan Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM.





