Memali: Perbezaan politik, agama tak diurus secara bijaksana bawa implikasi serius

TRAGEDI Peristiwa Memali pada 19 November 1985 yang mengorbankan 18 nyawa perlu dijadikan pengajaran besar mengenai kepentingan kematangan politik, kebijaksanaan kepimpinan dan pengurusan konflik dalam masyarakat.

Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban, Dr Mazlan Che Soh, berkata tragedi berkenaan memperlihatkan bagaimana pertembungan politik dan perbezaan fahaman yang tidak ditangani secara bijaksana boleh membawa implikasi serius kepada masyarakat dan negara.

Beliau berkata, antara pengajaran utama daripada peristiwa itu ialah tanggungjawab pemimpin politik dan agama untuk memastikan perbezaan ideologi tidak diterjemahkan kepada permusuhan sehingga menjejaskan perpaduan masyarakat.

Dr.Mazlan Che Soh

“Pemimpin politik dan agama mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan perbezaan ideologi tidak diterjemahkan kepada permusuhan yang akhirnya memecahbelahkan masyarakat. Kematangan politik dan kebijaksanaan kepimpinan amat penting dalam menguruskan perbezaan pandangan, khususnya apabila membabitkan sensitiviti agama dan kepercayaan masyarakat,” katanya kepada utusanmelayuplus.

Menurutnya, dari perspektif pentadbiran negara, tragedi itu turut mengingatkan bahawa aspek keselamatan, penguatkuasaan undang-undang, hak masyarakat dan prinsip keadilan perlu sentiasa diseimbangkan menerusi pendekatan berhemah, berkadar serta berlandaskan kedaulatan undang-undang.

Beliau berkata, sejarah Memali juga tidak seharusnya dijadikan instrumen untuk menghidupkan semula permusuhan politik, sebaliknya perlu menjadi asas kepada pembelajaran institusi, penambahbaikan tadbir urus serta usaha memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.

Mengulas hubungan antara fahaman politik dan agama, Dr Mazlan berkata perbezaan pandangan merupakan perkara lumrah dalam masyarakat demokratik, namun boleh menjadi berbahaya apabila wujud sikap terlalu taksub terhadap ideologi dan budaya politik yang tidak bertoleransi.

Katanya, keadaan menjadi lebih rumit apabila pihak yang mempunyai pandangan berbeza dianggap sebagai musuh sehingga ruang untuk berdialog dan mencari titik persamaan semakin terbatas.

“Apabila agama digunakan untuk memberikan legitimasi mutlak kepada sesuatu pendirian politik, ruang untuk berdialog dan menerima pandangan berbeza boleh menjadi semakin sempit.

“Keadaan ini berpotensi mewujudkan polarisasi masyarakat, prasangka dan ketegangan yang akhirnya boleh mencetuskan konflik sekiranya tidak ditangani dengan baik,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa tragedi Memali perlu difahami berdasarkan konteks sejarah dan politik zamannya yang kompleks, termasuk hubungan antara masyarakat, kepimpinan politik dan institusi keselamatan.

Justeru, katanya, peristiwa itu tidak wajar disederhanakan sebagai konflik agama semata-mata kerana ia turut membabitkan dimensi politik, pentadbiran dan keselamatan negara.

Dalam konteks Malaysia hari ini, beliau berkata pengalaman sejarah berkenaan sepatutnya mendorong semua pihak mengamalkan politik lebih matang, mengutamakan dialog, menghormati kepelbagaian pandangan serta mengelakkan eksploitasi sentimen agama untuk kepentingan politik sempit.

Pemimpin politik dan agama, katanya, perlu berperanan sebagai pendamai serta membina jambatan persefahaman dalam masyarakat, bukannya memperbesarkan jurang perbezaan.

“Memali mengajar kita bahawa perbezaan politik dan agama mesti diurus dengan kebijaksanaan, bukannya permusuhan.

“Kematangan sesebuah demokrasi bukan diukur melalui ketiadaan perbezaan, tetapi kemampuan pemimpin dan masyarakat menguruskan perbezaan tanpa mengorbankan keamanan, keadilan dan nyawa manusia,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here