MENTERI Luar Abbas Araghchi berkata pada Isnin bahawa usaha pengantaraan tanpa mengenal penat oleh Pakistan dan Qatar telah menghasilkan kemajuan besar ke arah menamatkan perang serta merealisasikan perkara-perkara lain yang terkandung dalam MoU.
Dalam satu hantaran di X, Menteri Luar Abbas Araghchi menulis bahawa ia ke arah menamatkan perang di Lubnan, penggantungan sekatan ke atas minyak dan petrokimia, penamatan sekatan maritim serta pembebasan sebahagian aset Iran yang dibekukan.
“Usaha pengantaraan tanpa mengenal penat oleh Pakistan dan Qatar telah menghasilkan kemajuan besar untuk menamatkan Perang Lubnan. Eksport minyak dan petrokimia dikecualikan daripada sekatan, sekatan ditamatkan, sebahagian aset beku dibebaskan, dan pelan besar pembinaan semula serta pembangunan untuk Iran telah dilancarkan,” tulis Aragchi.
“Ujian sebenar pertama: sel penyahkonflik Lubnan (Lebanon deconfliction cell),” tegas beliau.
Qatar dan Pakistan juga dalam satu kenyataan bersama mengumumkan kemajuan penting awal pagi Isnin dalam usaha diplomatik yang sedang berlangsung antara Amerika Syarikat dan Iran susulan berakhirnya pusingan pertama rundingan peringkat tinggi di Sidang Kemuncak Lake Lucerne di Switzerland.
“Suasana yang positif dan konstruktif telah menyelubungi hari pertama Sidang Kemuncak Lake Lucerne, di mana kemajuan yang menggalakkan telah dicapai, termasuk penubuhan satu mekanisme untuk meneruskan perbincangan teknikal,” menurut kenyataan bersama itu.
Antara hasil yang paling penting ialah penubuhan satu mekanisme bagi meneruskan perbincangan teknikal dan pembentukan sebuah jawatankuasa peringkat tinggi yang ditugaskan untuk menyelia dimensi politik proses pengantaraan.
Jawatankuasa itu akan menerima laporan berkala daripada ketua perunding dan menyelia kumpulan kerja khusus yang memberi tumpuan kepada program nuklear Iran, isu berkaitan sekatan serta mekanisme penyelesaian pertikaian yang direka untuk memastikan pelaksanaan memorandum persefahaman yang berkesan, yang telah ditandatangani minggu lalu.
“Jawatankuasa peringkat tinggi itu telah bersetuju dengan satu pelan hala tuju yang bertujuan mencapai perjanjian muktamad dalam tempoh 60 hari, sekali gus membuka jalan kepada permulaan segera satu pusingan baharu rundingan teknikal.
“Selain itu, satu saluran komunikasi telah diwujudkan antara pihak-pihak yang terlibat bagi tempoh yang ditetapkan dalam perenggan lima Memorandum Persefahaman, untuk mengelakkan insiden dan salah faham, serta memastikan laluan selamat kapal-kapal dagang melalui Selat Hormuz,” menurut kenyataan itu.






