Meta perlu perluas ciri keselamatan elak kanak-kanak, remaja ketagih Internet

KEMENTERIAN Komunikasi berharap Meta memperluas ciri keselamatan bagi pengguna Facebook dan Instagram bawah 18 tahun ke seluruh dunia secepat mungkin, termasuk had penggunaan harian dan sekatan akses pada waktu malam.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, langkah itu selari dengan hala tuju kerajaan untuk memastikan golongan muda khususnya mereka yang berusia bawah 16 tahun tidak menggunakan media sosial secara berlebihan.

Menurutnya, ciri keselamatan berkenaan tidak seharusnya terhad kepada pengguna di Amerika Syarikat (AS) kerana golongan muda di negara lain termasuk Malaysia turut berdepan risiko ketagihan Internet.

“Langkah ini sangat penting untuk kita pastikan bahawa ketagihan Internet ini boleh ditangani dengan baik.

“Kita mahu pastikan bahawa apabila semua orang ada akses kepada Internet, golongan muda juga dapat perlindungan diperlukan,” katanya kepada media selepas meninjau gelanggang futsal yang mengalami kerosakan di Taman Desa Kulai di Kulai hari ini, lapor Bernama.

Beliau diminta mengulas penyelesaian tindakan undang-undang membabitkan Meta dengan 47 negeri, District of Columbia dan beberapa wilayah AS berhubung dakwaan Facebook dan Instagram direka dengan ciri yang boleh menyebabkan ketagihan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Menerusi penyelesaian itu, Meta bersetuju membayar sehingga AS$17.1 bilion (RM69.1 bilion) selain melakukan beberapa perubahan terhadap Facebook dan Instagram bagi meningkatkan perlindungan pengguna bawah umur.

Nie Ching berkata, antara perubahan itu ialah mengehadkan penggunaan kedua-dua platform berkenaan kepada dua jam sehari bagi pengguna bawah 18 tahun serta mengehadkan akses dari 12 tengah malam hingga 6 pagi.

Meta juga akan menambah baik pengesahan umur dan mengurangkan beberapa ciri yang boleh mendorong penggunaan secara berlebihan.

“Ciri seperti ‘infinite scroll‘ dan ‘auto-feed‘ akan dihentikan dan Meta juga berjanji untuk menyembunyikan jumlah ‘likes‘ bagi pengguna bawah umur.

“Hal ini untuk memastikan golongan muda tidak terlalu mengejar ‘likes‘ sehingga melakukan sesuatu yang mungkin tidak bijak semata-mata mahu hantaran mereka lebih tular,” katanya.

Beliau berkata, platform media sosial di Malaysia ketika ini masih diberikan tempoh kelonggaran bagi melaksanakan langkah berkaitan sekatan penggunaan dalam kalangan golongan bawah umur.

“Memang ada orang tanya saya kenapa anak mereka yang berumur 16 tahun ke bawah masih boleh guna media sosial. Hal Ini kerana platform meminta ‘grace period‘ (tempoh kelonggaran) dan sekarang kita masih berada dalam tempoh itu,” katanya.

Nie Ching menyifatkan langkah melindungi golongan muda perlu dilaksanakan secara menyeluruh oleh semua platform media sosial dan bukan hanya Meta.

Beliau berkata sekatan terhadap Facebook dan Instagram sahaja tidak mencukupi sekiranya platform lain seperti TikTok, YouTube dan Snapchat tidak mengambil langkah yang sama.

“Saya rasa ini masa yang tepat untuk semua platform media sosial fikir baik-baik dan pastikan platform mereka selamat untuk golongan muda.

“Langkah-langkah ini sangat penting untuk memastikan ketagihan Internet dapat ditangani dengan baik dan golongan muda mendapat perlindungan yang diperlukan,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here