KEMENTERIAN Kewangan (MoF) memberi jaminan bahawa sebarang pelarasan terhadap perbelanjaan kerajaan tidak akan menjejaskan perkhidmatan awam yang penting mahupun kestabilan ekonomi.
Kata kementerian itu, penyusunan semula perbelanjaan operasi dilakukan sebagai tindak balas terhadap cabaran bekalan global serta peningkatan komitmen subsidi.
“Langkah ini merupakan sebahagian daripada pendekatan fiskal berhemah untuk mengoptimumkan sumber kerajaan agar sokongan kepada rakyat dapat terus dikekalkan,” kata kementerian tersebut dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, kementerian tidak mengesahkan skala pemotongan yang dicadangkan, tetapi memaklumkan bahawa garis panduan telahpun dikeluarkan kepada kementerian dan agensi berkaitan.
Penjelasan itu susulan laporan bahawa Perbendaharaan mengarahkan semua kementerian, jabatan dan agensi menilai semula perbelanjaan masing-masing serta mengemukakan cadangan pengurangan bajet sebelum 15 Mei.
Antara cadangan yang dikemukakan termasuk pengurangan ketara dalam perbelanjaan bagi sektor kesihatan dan pendidikan tinggi.
Sebelum ini, kementerian memaklumkan pada pertengahan April bahawa subsidi bahan api kini mencecah kira-kira RM7 bilion sebulan, meningkat mendadak berbanding sekitar RM700 juta sebulan sebelum ketegangan geopolitik di Timur Tengah menjejaskan laluan bekalan minyak global.
Daripada jumlah RM7 bilion itu, subsidi petrol RON95 meningkat daripada RM300 juta kepada RM4 bilion sebulan, manakala subsidi diesel — termasuk untuk petani, nelayan dan sektor logistik bagi menstabilkan harga makanan — naik daripada RM400 juta kepada RM3 bilion.


