MENTERI Komunikasi Fahmi Fadzil mengkritik syarikat media sosial kerana bertindak seolah-olah mereka berada di luar jangkauan undang-undang Malaysia, sambil menyifatkan isu pematuhan sebagai “masalah terbesar” dalam usaha menangani mudarat dalam talian.
Jurucakap kerajaan itu berkata, platform media sosial sering melihat diri mereka sebagai entiti supranasional yang lebih besar daripada negara, sekali gus cenderung menolak pengawasan kawal selia.
“Platform media sosial percaya bahawa mereka adalah entiti supranasional, lebih besar daripada negara, dan undang-undang kita tidak terpakai kepada mereka,” katanya ketika berucap di Persidangan Hak Wanita 2026 di Kuala Lumpur hari ini.
Merujuk laporan Reuters yang menyatakan Meta menjana kira-kira RM600 juta hasil pengiklanan dari Malaysia sahaja, Fahmi mempersoalkan sama ada syarikat sebegitu akan tunduk kepada tekanan kerajaan.
“Adakah anda fikir mereka akan mendengar seorang menteri?” soalnya.
Meta, syarikat teknologi multinasional berpangkalan di Amerika Syarikat, mengendalikan beberapa platform media sosial utama termasuk Facebook, Instagram, WhatsApp, Messenger dan Threads.
Pada 15 April lalu, dilaporkan Meta sedang berbincang dengan Putrajaya mengenai rancangan untuk mengehadkan akses media sosial bagi pengguna di bawah umur 16 tahun.
Kerajaan memberi bayangan bahawa dasar itu mungkin dikuatkuasakan seawal pertengahan 2026, dengan platform dijangka melaksanakan langkah perlindungan untuk mengehadkan akses golongan bawah umur.
Meta memaklumkan pihaknya sedang mengadakan “perbincangan konstruktif” dengan pihak berkuasa serta berkongsi pengalaman dari pasaran lain, sambil menegaskan akan menghormati apa jua rangka kerja kawal selia yang ditetapkan Malaysia.
Cadangan sekatan bawah 16 tahun di Malaysia merupakan sebahagian daripada usaha global yang lebih luas bagi mengehadkan akses kanak-kanak kepada media sosial susulan kebimbangan terhadap buli siber, eksploitasi dan risiko kesihatan mental, dengan kerajaan di seluruh dunia semakin meletakkan tanggungjawab kepada platform untuk melaksanakan langkah perlindungan.
Beliau menambah bahawa usaha menangani mudarat dalam talian memerlukan pendekatan menyeluruh yang melibatkan pengawal selia, agensi penguatkuasaan dan sistem kehakiman.
Sebelum ini, Fahmi turut mengkritik Meta dan X kerana didakwa tidak melakukan secukupnya dalam menangani buli siber, penipuan dan kandungan berbahaya dalam talian.


