Akibat terpaut keuntungan segera, pesara rugi lebih RM300,000 ditipu sindiket pelaburan tidak wujud

SEORANG pesara warga emas kerugian lebih RM300,000 selepas terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang dipromosikan menerusi media sosial pada Disember tahun lalu.

Mangsa yang berusia 81 tahun membuat laporan polis semalam selepas menyedari dia ditipu sindiket yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chan Hook berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima pada jam 5.01 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa tertarik dengan satu pautan pelaburan yang dilihat dalam laman Facebook sebelum dimasukkan ke dalam satu kumpulan pelaburan.

“Mangsa diperkenalkan dengan sistem pelaburan yang kononnya mampu memberikan keuntungan tinggi.

“Dia kemudian membuat beberapa transaksi pindahan wang ke akaun bank berbeza yang diberikan oleh pihak terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chan Hook berkata, mangsa kemudian dimaklumkan bahawa pelaburannya telah menjana keuntungan mencecah jutaan ringgit.

Bagaimanapun katanya, mangsa diminta membuat bayaran komisen terlebih dahulu sebelum dibenarkan mengeluarkan keuntungan tersebut.

“Mangsa telah melakukan 15 transaksi ke empat akaun bank berbeza.

“Apabila mahu membuat pengeluaran, mangsa diminta membuat bayaran tambahan atas pelbagai alasan sebelum menyedari dirinya ditipu,” ujarnya.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan kerugian yang dialami mangsa adalah sebanyak RM303,958.50.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, katanya lagi.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa dalam tempoh singkat,” katanya.

Chan Hook menasihatkan orang ramai supaya menyemak terlebih dahulu kesahihan mana-mana skim pelaburan melalui saluran rasmi sebelum membuat sebarang transaksi kewangan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img