`Saya akan tetap setia kepada PKR walaupun tidak lagi menjadi calon’ – Hassan Abdul Karim

AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim hari ini menegaskan pendiriannya tidak akan mengkhianati PKR pada pilihan raya umum (PRU) akan datang walaupun tidak lagi bertanding selepas ini.

Bekas Pengerusi PKR Johor itu berikrar akan tetap mempertahankan perjuangan dan membantu PKR semasa berkempen nanti.

Beliau berkata, pemimpin boleh datang dan pergi tetapi PKR sukar dicari ganti.

“Saya akan tetap setia pada PKR dan akan berjuang mempertahankan Keadilan supaya tetap menang di Pasir Gudang walaupun saya tidak bertanding lagi sebagai calon dalam PRU-16 akan datang.

“Saya akan berkempen untuk Parti Keadilan Rakyat dalam pilihan raya umum nanti, walau saya sudah uzur. Tak kuat berlari, saya berjalan, tak kuat berjalan, saya bertongkat. Namun mengkhianati PKR tidak sama sekali,” katanya dalam hantaran beliau dalam Facebook hari ini.

Menurut Hassan, walau terdapat perbezaan pandangan dan pendirian dalam beberapa isu dalam kepimpinan PKR termasuk Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi beliau akan tetap berjuang untuk keadilan sebagai anggota biasa.

Beliau berkata, perbezaan pandangan dan pendirian adalah perkara biasa dalam parti yang terbuka seperti PKR.

“Bagi saya secara peribadi, PKR perlu dipertahankan. Pemimpin boleh datang dan pergi tetapi PKR sukar dicari ganti,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img