SEBANYAK 582 pelajar dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang dibenarkan pulang hari ini susulan kejadian ribut yang melanda sekolah berasrama penuh itu, semalam.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Mara, Shahrizal Mohd Saderi berkata, kesemua pelajar terbabit akan menjalani sesi Perlaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula esok hingga Khamis dan dijangka kembali ke asrama pada Ahad.
“Kejadian ribut yang berlaku petang semalam turut menyebabkan beberapa struktur bangunan antaranya bumbung diterbangkan, tetapi apa yang penting tiada pelajar yang tercedera dalam kejadian ini.
“Keadaan sekarang terkawal dan kerja-kerja untuk menilai kerosakan yang berlaku sedang dibuat, ” katanya dalam sidang media ketika melakukan tinjauan di MRSM Pendang, hari ini.
Dalam pada itu katanya, peruntukan khas akan diberikan dan pihaknya mengenal pasti kontraktor yang berupaya untuk menjalankan kerja pembaikan dengan segera.
Shahrizal berkata, pihaknya sedang mendapatkan kelulusan bagi peruntukan darurat yang dianggarkan membabitkan kos kira-kira RM1.5 juta dan sebaik sahaja bajet diterima, semua kerja pembaikan akan dimulakan.
Semalam, Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam Facebook miliknya memaklumkan, blok pentadbiran MRSM Pendang mengalami rosak teruk akibat kejadian ribut dan hujan lebat yang melanda petang semalam.


