MUAZIN Masjid Nabawi, Sheikh Faisal bin Abdulmalik Nouman, meninggal dunia kelmarin.
Solat jenazah Allahyarham telah dilaksanakan di Masjid Nabawi selepas solat Subuh pada semalam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Jannatul Baqi.
Ketua Presidensi Hal Ehwal Agama Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais, merakamkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham mewakili para imam, muazin, guru agama serta seluruh warga kerja Presidensi Hal Ehwal Agama.
Dalam kenyataannya, Sheikh Al-Sudais mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, menempatkannya dalam syurga serta mengurniakan ganjaran besar atas jasa dan pengabdian beliau dalam menyeru umat Islam menunaikan solat di Masjid Nabawi. Beliau turut mendoakan ketabahan buat ahli keluarga yang ditinggalkan.
Allahyarham Sheikh Faisal dilahirkan di Madinah dan merupakan lulusan Universiti Taibah. Allahyarham berasal daripada keluarga yang mempunyai tradisi panjang sebagai muazin Masjid Nabawi, dengan datuk dan bapanya turut memegang amanah tersebut. Bapanya, Sheikh Abdulmalik Nouman, mula melaungkan azan di Masjid Nabawi pada usia 14 tahun dan berkhidmat sehingga wafat pada usia lebih 90 tahun.
Sheikh Faisal dilantik sebagai muazin Masjid Nabawi pada tahun 1422 Hijrah (2001) dan berkhidmat hampir 25 tahun sehingga 1447 Hijrah (2025).
Allahyarham dikenali dengan suara azan yang merdu dan penuh penghayatan, menjadikannya antara suara yang begitu sinonim dengan Masjid Nabawi. Pemergiannya disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat dunia Islam, dengan ribuan ucapan takziah dan doa membanjiri media sosial sebagai tanda penghormatan terhadap jasa dan legasi beliau.


