Berjuang membela masyarakat secara tegas , konstruktif

HIDUP ini satu perjuangan. Perjuangan paling utama adalah melawan godaan syaitan terhadap anak Adam seperti kita dan perjuangan untuk mentaati Allah SWT.

Meneruskan kehidupan juga adalah satu perjuangan. Apa juga cabaran mendatang, semuanya adalah ujian Allah yang memerlukan kita untuk bersabar dan istiqomah tetapi hidup mesti diteruskan dan berjuang selagi kita bernafas.

Sejak kebelakangan ini, saya telah membawa dua kelompok masyarakat iaitu golongan petani dan pesawah serta pengusaha pusat bertauliah swasta (TVET) untuk menyelesaikan kemelut dan keresahan masing-masing.

Apa kaitannya dengan saya?

Secara langsung, saya berada dalam perniagaan berasaskan pertanian. Manakala dalam TVET, saya adalah pengusaha pusat latihan TVET swasta sejak tahun 1996. Kebetulan, saya memimpin dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah dan pengasas kepada pertubuhan lain yang berteraskan TVET.

Saya memulakan perjuangan untuk menyelesaikan isu pesawah pada pertengahan bulan Julai 2026 di daerah Perak Tengah, kampung halaman saya iaitu kawasan padi Lambor-Bota.

Apabila media mula memainkan isu utama iaitu masalah bekalan air, kononnya akibat El-Nino, maka merebaklah juga sampai ke Kedah yang berdepan pula dengan masalah baja, pemotongan pemutuan hinggalah soal subsidi. Orang lain menyambut perjuangan itu. Biarlah mereka.

Manakala dalam isu TVET, penyedia latihan pula semakin tertekan akibat struktur pelaksanaan latihan terutama melibatkan pendanaan program dan pelajar menghadapi pelbagai masalah. Kedua-dua masalah sektor tersebut menjadi isu nasional.

Penulis bersalaman dengan anggota polis yang melakukan kawalan keselamatan ketika penulis menyertai satu perhimpunan tidak lama dahulu.

Semua pihak harus menerima hakikat bahawa bukan dua isu ini sahaja yang sedang melanda negara. Banyak hal yang sudah menjadi kelam-kelibut akibat pelbagai faktor dalam negara yang semua orang sudah  tahu.

Maka peranan orang seperti saya adalah untuk terus membantu memimpin dua golongan yang saya perjuangkan ini bagi mencari jalan penyelesaian supaya masalah mereka tidak merebak menjadi lebih kronik sehingga sukar untuk diselesaikan akhirnya nanti.

Bagi mereka yang diperjuangkan, mereka faham dan selesa dengan saya. Namun bukan semua yang berada di luar melihat nilai positif terhadap hasrat dan perjuangan saya.

Pastilah ada yang tidak senang dengan cara kita terutama mereka yang menganggap kerenah kita sebagai menyusahkan atau menggugat mereka. Ada sesetengah pihak menasihati saya supaya jangan cuba untuk kelihatan mahu menjadi  juara atau hero kerana semua itu akan memberi kesan kepada diri terutama bisnes saya.

Saya mengambil pendirian untuk tidak sombong dalam menerima pandangan orang lain tetapi sepanjang hidup saya bergelumang dengan perjuangan isu masyarakat (daripada zaman arwah bapa saya lagi), keikhlasan adalah kunci utama perjuangan. Alhamdulillah, setakat ini rezeki masih dikurniakan Allah sebaik-baiknya kepada saya. Malah hasil perjuangan juga dapat dilihat di mana-mana juga terutama di dalam negara.

Sejak dulu, pendekatan saya ialah tegas dalam apa juga isu yang diperjuangkan. Ketegasan itu adakalanya kita zahirkan dengan nada suara, malah tindakan yang boleh memberi tekanan agar sesuatu isu dapat diselesaikan secepat dan sebaik mungkin.

Jika tidak selesai di peringkat bawahan, kita perlu sampai ke peringkat atas seperti Menteri, waima raja-raja sekalipun.

Sampai ke satu tahap, saya pernah berdemo dan dikepung polis sebagai langkah keselamatan.  bagaimanapun ia tidaklah sampai ke tahap menggugat ketenteraman awam kerana kedaulatan undang-undang perlu dimertabatkan.

Sungguhpun begitu, saya suka mengambil pendekatan untuk mengimbangi pendekatan tekanan dengan perundingan, mengemukakan cadangan dan bersama-sama melaksanakan kerja yang berkaitan.

Contohnya, dalam kes pesawah padi, jalan terbaik, cepat dan berkesan adalah membawa isu melalui media. Maka semua agensi telah menarik perhatian dan kerja digerakkan.

Penulis bersalaman dengan anggota polis yang melakukan kawalan keselamatan ketika penulis menyertai satu perhimpunan tidak lama dahulu.

Namun tanpa penglibatan pemimpin berkuasa seperti exco kerajaan negeri berkaitan, masalah air yang telah bermasalah sejak awal tahun tidak dapat diselesaikan. Proses rundingan hendaklah dilakukan daripada peringkat daerah sampailah ke Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Putrajaya.

Manakala dalam hal TVET swasta pula, pelbagai usaha dan tekanan dilakukan tetapi kemuncaknya ialah mengemukakan pelan sinergi awam dan swasta yang boleh menjadikan TVET Malaysia lebih baik serta bertaraf dunia pada masa hadapan.

Terima kasih kepada Perdana Menteri yang telah menyediakan pasukan yang bertanggungjawab mendengar pandangan Kumpulan Senior dan Pengasas TVET Swasta Malaysia baru-baru ini yang diketuai oleh Adam Adli Abdul Halim, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Turut hadir Setiausaha Politik PMX iaitu Muhammad Kamil Mumin dan Senator Hairul Amir Sabri.

Bukan semua orang mempunyai bakat serba boleh (all-rounder) sebagai pejuang. Boleh mengatur strategi, menggerakkan tekanan, seni berunding dan menyediakan pelan penyelesaian yang konstruktif.

Orang seperti saya agak bernasib baik kerana sudah terdedah sejak kecil melihat keluarga saya berjuang untuk keluarga dan masyarakat. Bila dewasa, saya terdedah dengan pendidikan cara orang putih (British), asas ketenteraan (ATM), graduan pendidikan KPM serta pelbagai pengalaman langsung ketika menjadi pemimpin NGO.

Saya akhiri dengan pesan seorang tokoh usahawan dan pengerusi persatuan kontraktor kepada saya suatu masa dahulu dalam perjuangan membela nasib masyarakat iaitu:

Jika gosok boleh menyelesaikan masalah, maka kita gosok.

Jika bodek boleh menyelesaikan masalah, kita bodek.

Jika mengamuk boleh menyelesaikan masalah, kita mengamuk.

Tambah beliau, salalunya dalam konteks Malaysia, kaedah mengamuk paling berkesan tetapi janganlah diamalkan selalu dalam perjuangan. Itulah nasihatnya yang saya pegang hingga kini.

*Penulis adalah usahawan dan aktivis sosioekonomi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here