PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat Melaka menolak politik kebencian berasaskan kaum dan agama, sebaliknya memperkukuh perpaduan bagi menjamin kestabilan serta kemajuan negara.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, sejarah Kesultanan Melayu Melaka dan perjuangan kemerdekaan membuktikan kejayaan besar dapat dicapai melalui kerjasama pelbagai kaum, bukan perjuangan satu kelompok semata-mata.
“Saya menekankan perkara ini berulang kali kerana ada pihak yang cuba memutarbelitkan sejarah dengan mengatakan bahawa hanya dengan membangkitkan kemenangan satu kaum, negara ini dapat diselamatkan.
“Jika nenek moyang kita berjaya membina Kesultanan Melayu Melaka sebagai sebuah empayar yang besar, kita juga mampu melakukannya melalui keamanan, perpaduan semua pihak dan strategi pembangunan yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Melaka bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di pekarangan Stadium Hang Jebat di Melaka malam tadi.
Yang turut hadir, Setiausaha DAP, Anthony Loke; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu; Naib Presiden PKR merangkap Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari serta Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari.
Anwar berkata, pilihan raya seharusnya menjadi platform untuk menjelaskan pencapaian, dasar dan perancangan kerajaan, bukannya medan mencaci atau menyemarakkan permusuhan politik.
Menurutnya, kerajaan perlu dinilai berdasarkan usaha menangani isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat, termasuk kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan, kesihatan dan kemudahan asas.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha memperkukuh perpaduan tidak bermakna kepentingan orang Melayu dan Bumiputera diketepikan, sebaliknya pembangunan negara perlu dilaksanakan menerusi kerjasama semua kaum.
Katanya, pembangunan Melaka memerlukan penglibatan masyarakat Melayu, Cina dan India bagi memastikan negeri itu terus maju serta menyediakan masa depan lebih baik kepada generasi muda.
Anwar turut mengingatkan bahawa perpecahan kaum boleh menjejaskan usaha negara menguasai teknologi baharu, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital, selain membantutkan penciptaan peluang pekerjaan serta peningkatan pendapatan rakyat.
Beliau berkata, kerajaan komited memperbaiki kelemahan pentadbiran dan memastikan amanah rakyat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, selain memelihara keamanan serta kestabilan demi kepentingan negara.
Mengulas PRN Melaka, Anwar menyeru pengundi menilai calon berdasarkan usaha dan komitmen mereka terhadap pembangunan negeri, manakala calon PH yang diumumkan perlu memikul amanah serta berkhidmat untuk rakyat.
Pada majlis itu, beliau mengumumkan 21 calon yang bakal mewakili PH pada PRN Melaka yang dijadual berlangsung pada 14 November ini.





