“Saya mahu Malaysia yang aman, yang saling menghormati. Tetapi jika kita terus bertengkar tanpa henti, jangan salahkan Sarawak jika kami memilih untuk menjaga diri kami sendiri. Jika kamu tidak mahu kami, lepaskan kami. Jangan paksa kami hidup dalam kebencian.’’ – Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
DENGAN nada sarat keperitan dan jiwa terluka, Menteri Kerja Raya dan Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagaikan meluahkan apa yang sekian lama terpendam di hati ramai rakyat Sarawak bahawa perbalahan politik yang tidak berkesudahan di Semenanjung Malaysia kini bukan lagi sekadar memenatkan, tetapi menyakitkan.
Ia bukan lagi soal perbezaan pandangan. Ia soal kegagalan memahami makna hidup bersama sebagai satu negara.
Melihat keadaan di Semenanjung yang terus bergelut dengan pertikaian kaum, agama dan kuasa, Nanta mengakui dengan nada berat bahawa beliau semakin sukar menepis satu persoalan pahit, adakah Sarawak dan Malaysia benar-benar ditakdirkan untuk berjalan seiring sejak awal?
Mungkin pemisahan oleh Laut China Selatan bukan kebetulan.Mungkin ia satu amaran. Mungkin ia satu perlindungan.
Bercakap ketika menjadi tetamu dalam The Breakfast Grille di BFM 89.9, Nanta berkata Semenanjung Malaysia sebenarnya telah lama kehilangan sesuatu yang Sarawak masih pertahankan dengan sepenuh jiwa, kehormatan dalam perbezaan, dan kedamaian dalam kepelbagaian.
“Jika kamu mahu memahami Formula Sarawak, kamu mesti memahami pemimpin kami,” katanya dengan suara yang jelas, tetapi penuh makna, lapor Sarawak Dayak Hub.
“Premier kami bukan pemimpin yang bermain dengan sentimen. Beliau bercakap dengan hati, dan bertindak dengan tanggungjawab. Beliau tahu keharmonian itu rapuh namun sekali dipecahkan, sukar disatukan kembali,’ tegas Nanta.
Sarawak, katanya, bukan negeri yang mudah ditadbir. Ia berbilang kaum, berbilang agama, berbilang budaya namun tidak pernah membiarkan perbezaan menjadi senjata.
Beliau berkata, walaupun kaum Dayak dan Cina membentuk majoriti, dan Melayu menjadi tonggak penting, kepimpinan Abang Johari Abang Haji Openg tetap disokong tanpa mengira warna kulit atau kepercayaan. Kerana di Sarawak, rakyat menilai pemimpin berdasarkan kejujuran, bukan retorik.
“Ini bukan sesuatu yang baru. Sejak tahun 1960-an, Sarawak dipimpin oleh pemimpin Melayu Muslim dan Melanau tanpa pertumpahan kebencian. Kami memilih kedamaian, ketika orang lain memilih api,’’ katanya.
Beliau mengingatkan bagaimana Pehin Sri Adenan Satem pernah berdiri teguh mempertahankan maruah semua rakyat Sarawak.
“Beliau berkata dengan jelas, tiada siapa pendatang di Sarawak. Kata-kata itu bukan untuk tepukan, tetapi untuk menyembuhkan luka,” katanya, sambil menambah bahawa Abang Johari kini memikul amanah itu dengan lebih berat, tetapi juga lebih berani.
Nanta menegaskan formula Sarawak bukan slogan kosong sebaliknya ia dibina melalui dasar yang menyentuh kehidupan sebenar rakyat melalui UNIFOR untuk menjaga agama-agama lain, RECODA untuk membangunkan wilayah yang lama terpinggir, dan program luar bandar yang memastikan tiada siapa ditinggalkan.
“Kami berbincang tentang agama. Kami berbincang tentang kaum. Kami berbincang tentang bahasa. Tetapi kami tidak membenci. Kami tidak menghina.
”Kami tidak memecah-belahkan. Kamu bertengkar tentang segala-galanya. Politik, agama, kaum semuanya dijadikan medan perang. Di Sarawak, kami penat melihat ini. Kami dipaksa untuk berasa begini,’’ tegasnya lagi.
Beliau mengaku, dengan suara yang hampir kecewa, bahawa semakin lama beliau melihat keadaan di tanah besar, semakin kuat perasaan bahawa Sarawak mungkin tidak pernah benar-benar difahami.
“Mungkin dari awal lagi, kita memang tidak ditakdirkan untuk menjadi satu bangsa. Sebab itu Tuhan memisahkan kita dengan Laut China Selatan,” katanya.
Sebagai Setiausaha Agung PBB dan GPS, Nanta menegaskan bahawa ‘Sarawak Didahulukan’ bukan ancaman, tetapi jeritan sebuah negeri yang mahu dihormati.
“Kami tidak mahu merampas apa yang bukan milik kami. Kami hanya mahu hak kami dihormati. Kami mahu menentukan masa depan anak-anak kami sendiri,” katanya.
Tentang MA63 dan isu minyak serta gas, nada beliau jelas dan tegas tetapi tidak bermusuhan.
“Kami tidak mahu memusnahkan PETRONAS. Kami tidak mahu bermusuh. Tetapi jangan anggap Sarawak lemah. Sumber ini adalah nadi negeri kami,” katanya.
Beliau memberi amaran bahawa membawa isu ini ke mahkamah hanya akan membuka luka lama yang belum sembuh.
“Jika keputusan itu tidak adil kepada Sarawak, siapa yang akan menanggung akibatnya?” soalnya.
Apabila ditanya sama ada Sarawak boleh berpisah daripada Malaysia, Nanta berhenti sejenak sebelum menjawab dengan suara penuh sejarah dan tanggungjawab.
“Datuk saya, Tun Jugah, menandatangani Perjanjian Malaysia. Saya tidak akan mengkhianati amanah itu. Saya cintakan Malaysia. Tetapi darah saya Sarawak. Apabila Sarawak dipersoalkan, saya berdiri bersama Sarawak,’’ katanya.
Beliau mengingatkan bahawa kesetiaan Sarawak kepada negara tidak pernah goyah dari sebelum Malaysia wujud, hingga ke hari ini.
Namun, harapan itu kini dibalut kebimbangan yang tidak lagi dapat disembunyikan.
“Saya mahu Malaysia yang aman, yang saling menghormati. Tetapi jika kita terus bertengkar tanpa henti, jangan salahkan Sarawak jika kami memilih untuk menjaga diri kami sendiri. Jika kamu tidak mahu kami, lepaskan kami. Jangan paksa kami hidup dalam kebencian,’’ katanya.
Nanta mengakhiri kenyataannya dengan mengulang tekad Premier Sarawak, satu janji kepada rakyat, bukan politik.
“Kami tidak akan membuang masa dengan perbalahan. Tanggungjawab kami hanya satu, membina Sarawak yang lebih kuat, lebih adil, dan lebih bermaruah untuk generasi akan datang.”


