CUBAAN pemandu Perodua Myvi melarikan diri daripada pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas dikesan melakukan pengubahsuaian ekstrem gagal apabila ditahan semalam.
Pengarah Kanan Bahagian Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, anggota penguat kuasa pada mulanya mengesan kenderaan terbabit sebelum memberi isyarat dan arahan supaya berhenti.
Menurutnya, pemandu kenderaan terbabit enggan mematuhi arahan dan cuba melarikan diri.
“Anggota penguat kuasa mengambil segala prosedur bagi menahan kenderaan berkenaan termasuk membunyikan siren dan menyalakan lampu mata arah sebelum mengejarnya.
“Selepas kira-kira 10 hingga 15 minit mengejar, anggota berjaya menahan kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kenderaan berkenaan dipercayai mengalami pengubahsuaian ekstrem sebelum disita JPJ Kota Kinabalu.
“Pemandu lelaki berusia 20-an tahun itu didapati melakukan empat kesalahan iaitu Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, cukai jalan tamat tempoh dan pengubahsuaian kenderaan secara ekstrem,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan anggota JPJ cuba menahan sebuah Perodua Myvi di Kota Kinabalu sebelum pemandu terbabit melarikan diri.





