PEMANDU treler yang terlibat kemalangan mengorbankan empat mangsa di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Bukit Tinggi petang tadi disahkan mempunyai 15 rekod saman lampau.
Perkara tu disahkan Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman yang turut memaklumkan sampel darah lelaki berusia 40 tahun itu turut diambil untuk tujuan analisis toksikologi.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi melengkapkan siasatan dan mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya,” katanya dalam kenyataan terbaharu malam ini.
Media sebelum ini melaporkan, empat termasuk seorang bayi berusia setahun maut dalam kemalangan itu selepas treler membawa muatan habuk kayu terbalik dan menghempap sebuah Honda City.
Pemandu treler mengalami kecederaan pada kepala serta pinggul dan sedang menerima rawatan lanjut di hospital.
Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang memaklumkan, treler berkenaan terbakar ketika proses dialihkan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, kebakaran dikesan semasa jentera penyodok cuba mengalihkan treler tersebut.
Menurutnya, kebakaran berlaku selepas kesemua empat mangsa yang tersepit berjaya dibawa keluar.






