45 individu termasuk warga asing ditahan ceroboh Hutan Simpan Kekal Ayer Hitam

TINDAKAN segelintir individu termasuk orang awam dan warga asing  menceroboh Hutan Simpan Kekal (HSK) Ayer Hitam, di Puchong untuk menjalankan aktiviti mendaki dan mandi manda mengundang padah apabila sebanyak 45 orang ditahan pihak berkuasa kelmarin.

Kesemua individu terbabit ditahan dalam satu operasi khas bersepadu, Op Jejak yang dijalankan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) dengan kerjasama Balai Polis Puchong Jaya serta Universiti Putra Malaysia (UPM).

Difahamkan, sebahagian besar penceroboh mendakwa kehadiran mereka ke kawasan larangan berkenaan adalah disebabkan terpengaruh dengan hantaran yang tular dalam platform media sosial.

Operasi berkenaan bagaimanapun sedikit tegang apabila segelintir penceroboh yang merupakan warga asing enggan memberikan kerjasama dengan mempertikaikan pemeriksaan serta prosedur dokumentasi yang dijalankan oleh pegawai operasi.

Ketika serbuan dibuat, terdapat beberapa kumpulan sedang leka mandi-manda, manakala sebahagian lagi ditahan sedang melakukan aktiviti pendakian.

Pegawai Hutan Daerah Selangor Tengah, Mohd Hadre Mohamad berkata, operasi yang berakhir pada jam 3 petang itu menahan keseluruhan 38 lelaki dan tujuh wanita, termasuk lima individu warga asing.

“Kesemua mereka didapati tidak mempunyai dokumen kebenaran yang sah untuk berada di kawasan berkenaan. Mereka dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang bagi tujuan pelaporan untuk tindakan siasatan lanjut oleh JPNS.

“JPNS menasihatkan penggemar aktiviti rekreasi supaya peka tentang keperluan Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal dan menjalankan aktiviti tersebut di lokasi pendakian yang dibenarkan sahaja,” katanya.

Mohd Hadre berkata, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil memandangkan perbuatan menceroboh itu suatu kesalahan di bawah Seksyen 47 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.

Sementara itu, seorang remaja berusia 19 tahun yang ditahan mengakui dia bersama beberapa rakannya datang ke hutan simpan berkenaan semata-mata untuk beriadah dan tidak menyedari tindakan mereka telah melanggar undang-undang.

“Kami tak tahu salah masuk sini. Memang tak perasan ada signboard (papan tanda) larangan. Maaf, kami memang tak tahu,” kata remaja itu, lapor Harian Metro.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img