SEORANG peniaga kerugian RM610,000 selepas terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud dalam talian yang menjanjikan pulangan luar biasa sehingga 750 peratus.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, mangsa berusia 49 tahun itu pada mulanya tertarik dengan iklan pelaburan terbabit di Facebook sebelum berhubung dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp.
Menurutnya, mangsa kemudian ditawarkan pulangan tinggi sebelum diminta membuat beberapa transaksi ke akaun bank berbeza bermula 1 April lalu.
“Mangsa diberitahu bahawa semua urusan pelaburan akan diuruskan sepenuhnya oleh ‘broker’.
“Bagaimanapun, mangsa hanya menyedari ditipu apabila diminta membuat bayaran tambahan kononnya bagi mengeluarkan keuntungan pelaburan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa tampil membuat laporan polis semalam selepas menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati terhadap sebarang tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan luar biasa.
“Justeru, polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan luar biasa,” katanya.


