Nahas tiga beranak: Allahyarham Norawalysa disifatkan guru berdedikasi

ALLAHYARHAM Norawalysa Mat Talpi, 44, yang maut bersama dua anaknya dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah lori di Jalan Raja Muda Musa menghala ke Tanjong Karang, hari ini, dianggap sebagai seorang guru yang berdedikasi serta komited terhadap tugas.

Allahyarham yang mengajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bestari Jaya turut disifatkan sebagai pendidik yang mengambil berat terhadap perkembangan pembelajaran murid.

Penjaga seorang murid, Saridon Ratiman, 58, berkata, anak bongsunya, Nur Afeeya Nayla, 8, antara individu yang sempat bertemu Allahyarham sebelum pulang dari sekolah tengah hari tadi.

Menurutnya, Allahyarham mempunyai pendekatan tersendiri ketika mengendalikan murid selain tidak pernah jemu mencurahkan ilmu.

“Cara arwah mengendalikan murid sangat unik dan beliau seorang pendidik yang tidak jemu mengajar.

“Kali terakhir anak saya berjumpa arwah ketika mahu pulang sekitar tengah hari tadi dan sempat melambai sebelum kami bergerak pulang,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Tanjong Karang, hari ini, lapor Harian Metro.

Saridon berkata, dia menerima berita mengenai kemalangan yang menimpa Allahyarham kira-kira jam 3 petang.

Beliau turut mendoakan agar keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi kehilangan berkenaan.

Sementara itu, puluhan ahli keluarga, saudara-mara dan rakan hadir di hospital bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Jenazah Norawalysa bersama dua anaknya, Auni Syazana, 12, dan Ahmad Syah Fawwaz, 8, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Serong malam ini.

Media hari ini melaporkan, ketiga-tiga beranak itu maut selepas Proton Exora yang dinaiki mereka dipercayai merempuh bahagian belakang sebuah lori seberat 20 tan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here