SEORANG remaja lelaki ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan pada bahagian muka dan kepala di kawasan semak berhampiran Jalan Harvard, Gurun di Sungai Petani pagi tadi.
Mayat Muhammad Haikal Mohd Shahrilnizam, 18, ditemukan orang awam kira-kira jam 8 pagi dalam keadaan lengkap berpakaian sukan berwarna hitam dan kuning.
Ibu mangsa, Azura Zor, 41, berkata, dia terkejut apabila didatangi anggota polis ke rumahnya di Guar Chempedak bagi meminta bantuan mengecam mayat lelaki yang ditemukan.
Menurutnya, sebelum itu keluarga tidak mengetahui keberadaan Muhammad Haikal selepas mereka terputus hubungan dengannya sejak bulan lalu.
“Saya pernah cuba menghubunginya dan menghantar mesej WhatsApp, tetapi tidak mendapat jawapan. Kami juga sudah berusaha mencarinya namun tidak berjaya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar hari ini, lapor Harian Metro.
Azura berkata, keluarganya tidak membuat laporan polis sebelum ini kerana tidak mengetahui lokasi anaknya berada.
Katanya, Muhammad Haikal sebelum ini pernah bekerja di sebuah kedai roti canai di Guar Chempedak dan hubungan keluarga dengan mangsa tidak mempunyai sebarang masalah.
Dalam pada itu, bapanya, Mohd Shahrilnizam Che Sharif, 41, pernah menerima mesej WhatsApp daripada seseorang yang meminta wang RM200, namun keluarga tidak mengetahui tujuan permintaan berkenaan.
Azura berkata, sekiranya anaknya benar menjadi mangsa perbuatan jenayah, dia berharap pihak bertanggungjawab dapat dikenakan tindakan sewajarnya.
Jenazah mangsa selesai menjalani bedah siasat kira-kira jam 5.45 petang sebelum dibawa keluar dari Jabatan Forensik HSB untuk urusan pengebumian.
Adik lelaki mangsa yang masih mengenakan pakaian sekolah dilihat sebak ketika melihat jenazah abangnya dan terpaksa ditenangkan ahli keluarga.
Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Guar Chempedak malam ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah dijadual mengadakan sidang media Ahad ini bagi memberikan perkembangan lanjut berhubung kes berkenaan.





