Victor Sanjos dilantik Pesuruhjaya Polis Sabah baharu

KOMANDER Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Victor Sanjos dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah baharu, menggantikan Datuk Jauteh Dikun yang menamatkan perkhidmatan selepas lebih 32 tahun berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pelantikan itu disusuli majlis pemakaian pangkat Komisioner Polis dan serah terima tugas yang berlangsung di Auditorium Sayat-Sayat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kota Kinabalu petang ini.

Majlis berkenaan disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid yang turut menyempurnakan pemakaian pangkat Komisioner Polis kepada Victor.

Pada majlis sama, Jauteh secara rasmi menyerahkan tanggungjawab kepada penggantinya menerusi upacara menandatangani dokumen serah terima tugas, penyerahan dokumen secara simbolik serta tongkat kuasa, lapor BH.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Jauteh memainkan peranan dalam memperkukuh aspek keselamatan, meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang serta memantapkan hubungan antara polis dengan masyarakat.

Majlis itu turut menyaksikan serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Sabah daripada Datin Nurhayatie Farhana Abdullah kepada Datin Ellen Ansie Anak Swithun Ansie.

Upacara berkenaan disaksikan Naib Pengerusi Perkep Malaysia, Datin Seri Selmiah Tuan Ibrahim.

Majlis turut diserikan dengan perbarisan khas sebagai tanda penghormatan terhadap kepimpinan terdahulu selain menyambut pelantikan peneraju baharu PDRM Sabah.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here