Najib dipercayai dibawa keluar dari Penjara Kajang

KENDERAAN utiliti sukan (SUV) berwarna kelabu yang dipercayai membawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dilihat meninggalkan kompleks Penjara Kajang pada jam 2.37 petang tadi.

Kenderaan itu bergerak keluar dengan kawalan pasukan keselamatan penjara, bagaimanapun destinasi yang dituju masih belum dapat dipastikan.

Perkembangan itu berlaku kira-kira 22 minit selepas peguam Najib, Muhammad Farhan Shafee, tiba di kompleks penjara berkenaan pada jam 2.15 petang, lapor Buletin TV3.

Kereta Audi berwarna putih yang membawa peguam itu dilihat memasuki pekarangan penjara menerusi pintu pagar utama, namun beliau hanya melemparkan senyuman ketika disapa petugas media.

Terdahulu, media melaporkan Najib selesai menjelaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pagi tadi.

Peguamnya berkata, Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah membolehkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah susulan pengampunan diraja, selepas pembayaran denda berkenaan diselesaikan.

Menurutnya, perintah itu akan diserahkan kepada pihak Penjara Kajang dengan segera, namun beberapa prosedur lanjut perlu diselesaikan sebelum Najib boleh dibebaskan dari penjara untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

Pada 18 September lalu, Najib menerima pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Najib, 73, sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here