Nepal: 13,396 diselamatkan,1,355 mayat ditemukan, lebih 5,000 masih hilang

KERAJAAN  Nepal berjaya menyelamatkan 13,396 orang, termasuk lebih 300 warga asing, ketika operasi mencari, menyelamat dan bantuan memasuki hari ke-13 selepas banjir Sungai Bhote Koshi pada 26 Ogos 2026.

Menurut Kementerian Luar Nepal, kira-kira 5,000 orang masih hilang, termasuk sekitar 600 warga asing dari 35 negara, manakala 1,355 mayat telah ditemukan di kawasan yang terjejas akibat banjir.

Angka itu direkodkan setakat jam 2 petang (jam 3.15 petang waktu Malaysia) dan masih tertakluk kepada proses pengesahan serta kemas kini berterusan.

Dalam tempoh empat hari lalu, empat mangsa berjaya diselamatkan dalam keadaan hidup.

Mereka terdiri daripada dua warga Nepal yang diselamatkan dari terowong Projek Hidroelektrik Upper Trishuli 3A pada 4 September, seorang warga China yang diselamatkan dari terowong Upper Trishuli 1, serta seorang lagi warga Nepal yang ditemui selamat di sebuah rumah di Betrawati pada 5 September.

Pasukan penyelamat terowong dari India, China dan Republik Korea meneruskan operasi dengan kerjasama Tentera Nepal, manakala pasukan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Malaysia turut menyertai usaha berkenaan.

Peralatan tambahan dan anggota teknikal turut dihantar ke beberapa projek hidroelektrik yang terjejas, termasuk Upper Trishuli 1, Upper Trishuli 3A, Upper Trishuli 3B, Chilime, Rasuwagadhi dan Langtang, lapor Nepalnews.com.

Kerajaan Nepal turut memohon bantuan antarabangsa tambahan, termasuk dron berkapasiti tinggi, sistem LiDAR, jambatan Bailey, bekalan pencegahan wabak, kit ujian DNA, pam berkapasiti tinggi untuk mengeluarkan air, peti sejuk makmal serta pakaian khas untuk operasi menyelamat di kawasan berlumpur dan terowong.

Pada masa sama, pihak berkuasa berusaha memulihkan hubungan jalan raya, bekalan elektrik dan telekomunikasi di kawasan terjejas.

Tentera Nepal, dengan sokongan jurutera, sedang berusaha memulihkan laluan Galchhi-Trishuli menerusi pembinaan jambatan sementara merentasi Sungai Tadi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here