MALAYSIA telah membuat permohonan kepada Kerajaan Nepal untuk menghantar pakar DNA bagi membantu proses pengecaman mangsa bencana banjir di negara itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, khidmat pakar berkenaan diperlukan bagi membantu proses padanan DNA, termasuk dengan sampel yang diberikan keluarga rakyat Malaysia di negara ini.
Katanya, proses itu akan dilaksanakan selepas operasi mencari dan menyelamat selesai, terutama membabitkan mayat mangsa yang sudah ditemukan tetapi belum dikenal pasti.
“Kita akan mohon daripada pihak kerajaan Nepal untuk membawa pakar-pakar yang boleh mengesan DNA jika ada mayat-mayat yang telah pun dijumpai.
“Kita memerlukan DNA untuk dibuat ‘matching’ (padanan) dengan sampel yang diberikan oleh keluarga rakyat Malaysia di negara ini, sekiranya kita boleh mendapatkan padanan DNA tersebut.
“Itu selepas usaha untuk menyelamat, ‘search and rescue’ (mencari dan menyelamat) itu ditamatkan,” katanya pada sidang media, di Kuala Lumpur hari ini.
Sementara itu, portal berita Nepalnews.com melaporkan, pasukan forensik dari India, China, Jepun, Singapura dan Republik Korea telah menyertai Polis Nepal dalam kerja pengumpulan DNA, analisis serta pengenalpastian mayat yang ditemukan.
Pihak berkuasa turut mengebumikan sementara mayat yang telah ditemukan selepas prosedur forensik yang diperlukan selesai, bagi membolehkan proses pengenalpastian dilakukan kemudian dan jenazah diserahkan kepada keluarga.





