SEORANG pemandu kren didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan memukul teman wanitanya sehingga mangsa patah tangan kanan di kawasan tanah perkuburan, bulan lalu.
A. Ramesh, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang wanita berusia 31 tahun menggunakan kayu yang merupakan alat untuk memukul.
Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 3 pagi di kawasan tempat pembakaran mayat Tanah Perkuburan India Jelutong, Batu Berendam, dalam daerah Melaka Tengah, pada 22 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Difahamkan, tertuduh membawa mangsa ke lokasi kejadian sebelum memukul bahagian badan dan tangan kanan wanita terbabit sehingga patah.
Tindakan itu dipercayai berpunca daripada rasa cemburu apabila tertuduh menyangka teman wanitanya mempunyai hubungan dengan seorang lelaki bernama Naresh.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rif’ah Izzati Abdul Mutalif mencadangkan jaminan RM15,000 dikenakan terhadap tertuduh berserta syarat tambahan supaya tidak mengganggu saksi dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.
Tertuduh bagaimanapun tidak membuat sebarang rayuan berhubung jumlah jaminan selepas dimaklumkan tiada wakil daripada pihaknya hadir di mahkamah untuk urusan jaminan.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta bersetuju dengan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 6 Oktober depan, lapor Harian Metro.





