Nepal: 389 terbunuh,ratusan masih hilang…mangsa banjir ceritakan pengalaman ngeri

BAGI Raju Budhathoki, seorang ejen kastam yang bertugas di Pejabat Kastam Rasuwa di Timure, Nepal pagi Rabu menjadi antara detik paling mengerikan dalam hidupnya.

Budhathoki, yang berasal dari Perbandaran Manthali-13, Ramechhap, sedang berehat di biliknya seperti biasa. Namun sekitar jam 8.45 pagi, gunung di bawahnya tiba-tiba bergegar.

“Saya sedang tidur apabila seluruh lereng bukit tiba-tiba mula bergegar seolah-olah berlaku gempa bumi.

“Rumah-rumah mula bergegar. Tiada masa untuk memikirkan apa yang sedang berlaku. Saya berlari keluar dengan pakaian yang sedang dipakai, semata-mata mahu menyelamatkan nyawa,’’ ,” katanya kepada Kathmandupost.

Beliau kemudian berlari ke arah sebuah pondok polis berhampiran, namun mendapati anggota polis turut melarikan diri bagi menyelamatkan diri.

Ketika cuba melepasi pagar dawai di pondok berkenaan, tangannya mengalami kecederaan.

Apabila menoleh ke belakang, beliau melihat rumah-rumah di kawasan pasar Timure dihanyutkan banjir satu demi satu. Sebahagiannya lenyap ke dalam arus sungai yang mengganas hanya dalam beberapa saat.

“Saya berjaya sampai ke sebuah kawasan hutan kira-kira 500 meter di atas bukit dan di situlah saya akhirnya menyelamatkan diri,” katanya.

“Dari hutan, apabila saya melihat ke arah Timure, saya tidak pernah menyangka akan mendapat peluang kedua untuk hidup seperti ini. Kini semuanya terasa seperti mimpi ngeri.”

Pengalaman Budhathoki merupakan sebahagian daripada kemusnahan yang dicetuskan banjir Sungai Bhotekoshi pada Rabu.

Banjir besar dan tanah runtuh yang melanda kawasan sempadan Rasuwagadhi di Rasuwa, termasuk penempatan Timure, meninggalkan kemusnahan yang sukar digambarkan.

Polis dan pasukan penyelamat setakat jam 9 malam Khamis telah menemui 389 mayat, manakala ratusan lagi masih hilang.

Operasi mencari kemungkinan mangsa yang masih hidup serta usaha mengesan dan mengeluarkan mayat diteruskan secara besar-besaran.

Namun di sebalik kemusnahan dan kehilangan nyawa yang amat besar itu, mangsa yang terselamat seperti Budhathoki menyifatkan diri mereka seolah-olah diberi peluang untuk hidup buat kali kedua.

Mereka yang berjaya menyelamatkan diri daripada arus banjir deras, lereng bukit yang runtuh dan penempatan yang dilanda kegelapan kini menerima rawatan di hospital serta pusat perlindungan di Bidur, Trishuli dan Kathmandu.

Namun gambaran kematian masih jelas dalam ingatan mereka.

Di sebalik kelegaan kerana terselamat, mereka turut menanggung kesedihan mendalam akibat kehilangan rakan sekerja, sahabat dan saudara-mara.

“Saya cuma mahu terus hidup”

Prakash Gautam dari Gokarneshwar, Kathmandu, adalah antara mereka yang berdepan detik hampir maut.

Gautam, yang turut bekerja sebagai ejen kastam di Pejabat Kastam Rasuwa, berada di biliknya di Timure pada pagi Rabu.

“Tiba-tiba kedengaran bunyi gemuruh yang sangat kuat. Dalam sekelip mata, seluruh kawasan pasar diselubungi kegelapan dan langit dipenuhi awan hitam,” katanya.

“Saya berlari keluar dari bilik tanpa mengetahui apa yang sedang saya lakukan. Saya tidak tahu ke mana hendak pergi atau arah mana hendak berlari. Saya cuma mahu terus hidup.”

Beliau mengalami kecederaan serius pada jari kelingking kaki kirinya ketika melarikan diri.

Namun bagi seseorang yang terselamat daripada maut, kecederaan itu tidak begitu penting.

“Kecederaan ini tidak penting. Sekurang-kurangnya saya masih hidup.Dari hutan di atas bukit, saya dapat melihat mayat bergelimpangan dan terapung di dalam air banjir. Di depan mata saya, Timure yang indah berubah menjadi runtuhan.”

“Rumah dan penempatan dihanyutkan. Kini yang tinggal hanyalah kawasan luas yang dipenuhi pasir dan lumpur,’’ katanya.

Tidak dapat diselamatkan pada siang hari, Gautam bersama beberapa mangsa lain terpaksa menghabiskan malam Rabu di dalam hutan.

“Kami hampir tidak mampu bertahan sepanjang malam. Kami hanya makan bungkusan mi yang dijatuhkan oleh helikopter Tentera Nepal,” katanya.

Sekitar jam 10 pagi Khamis, sebuah helikopter Tentera Nepal tiba dan membawa mereka ke Bidur.

“Hanya selepas menaiki helikopter itu saya benar-benar merasakan bahawa saya telah terselamat. Kami berasa lega sebaik sahaja mendarat di Bidur. Saya kembali daripada keadaan paling sukar dengan seolah-olah diberikan kehidupan baharu.”

Bagi Tulsi Bahadur Bhandari dari Dolakha pula, Rabu menjadi satu lagi pertemuan secara langsung dengan maut.

Aliran lumpur hitam dan air banjir tiba-tiba turun deras dari kawasan pergunungan lalu menenggelamkan penempatan berkenaan dalam sekelip mata.

Bhandari terperangkap dalam arus ketika cuba melarikan diri.

“Rumah-rumah mula runtuh satu demi satu. Saya tidak tahu dari mana datangnya aliran hitam itu atau apa yang sedang berlaku. Apabila semuanya mula runtuh, saya terus berlari. Tetapi kekuatan arus banjir menghentam saya dan mencampakkan saya dengan kuat,’’ katanya.

Arus deras itu kemudian menolak Bhandari ke arah lereng bukit.

“Jika arus itu tidak mencampakkan saya ke arah lereng, saya tidak akan hidup hari ini,” katanya.

Campakan itu menyebabkan saya tersangkut di kawasan lereng dan menghalang saya daripada dihanyutkan. Begitulah saya terselamat.”

Ram Kumar Rana, yang berada di hospital bagi menjaga saudara-maranya yang cedera, berkata kekuatan arus banjir terlalu dahsyat sehingga ada mangsa tertimbus dalam pasir dan lumpur ketika cuba menyelamatkan diri.

“Arus menghentam mereka ketika sedang berlari dan menimbus mereka. Pasukan penyelamat, dengan bantuan helikopter, kemudian mengeluarkan mereka dan membawa mereka ke sini.

“Air terus meningkat. Dalam keadaan kelam-kabut itu, kanak-kanak kecil panik dan berlari sambil menangis. Ada yang terjatuh dan patah tangan,’’ katanya.

Menurut Rana, kanak-kanak yang cedera serta saudara-maranya kini berada dalam keadaan stabil.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here