Ombak besar karamkan bot, 5 nelayan terselamat

LIMA nelayan tempatan berdepan detik cemas apabila bot yang mereka naiki karam selepas dipukul ombak di perairan berhampiran Pulau Nunuyan dekat Sandakan, semalam.

Bagaimanapun, tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menyelamatkan semua mangsa yang berusia antara 38 hingga 59 tahun sekitar jam 6 petang.

Difahamkan, kesemua mereka keluar ke laut untuk memancing pada jam 6 pagi sebelum kejadian berlaku ketika dalam perjalanan pulang ke Jeti Nelayan Karamunting.

Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, bot dinaiki mangsa dipukul ombak besar sebelum karam kira-kira jam 5 petang.

Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.15 petang sebelum segera menggerakkan aset ke lokasi kejadian.

“Bot Banggi 44 dan Cenderawasih 4 digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat.

“Hasil tindakan pantas anggota, semua lima nelayan itu berjaya diselamatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan hanya mengalami keletihan serta kesejukan akibat berada di laut.

Katanya, kesemua mereka kemudian dibawa ke jeti Maritim untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia turut menasihatkan komuniti maritim supaya sentiasa memantau keadaan cuaca dan memastikan aspek keselamatan dipatuhi sebelum keluar ke laut.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img