BN Johor lancar manifesto tawar 63 tekad, fokus kebajikan rakyat, kesinambungan pembangunan

BARISAN Nasional (BN) Johor hari ini melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 yang mengandungi 63 tekad bertunjangkan enam teras Maju Johor dengan tema ‘Maju Johor, Kestabilan Dikekalkan, Kemajuan Diteruskan.’

Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, manifesto itu dirangka berasaskan pengalaman mentadbir negeri sepanjang empat tahun lalu dan mengambil kira keperluan sebenar rakyat Johor.

GAMBAR: Facebook Onn Hafiz Ghazi

Menurut beliau, kepercayaan diberikan rakyat kepada BN pada pilihan raya lalu membolehkan pelbagai inisiatif dan dasar dilaksanakan demi kemajuan negeri.

“Syukur alhamdulillah, empat tahun lalu, Bangsa Johor memberi kepercayaan kepada BN memimpin negeri ini. Dalam tempoh itu, banyak yang kita usahakan dan capai bersama.

“Berbekalkan pengalaman dan rekod pencapaian itu, saya memperkenalkan Manifesto BN Johor yang menggariskan 63 tekad berteraskan enam teras Maju Johor,” katanya menerusi perkongsian di Facebook hari ini.

Onn Hafiz berkata, antara komitmen utama ditawarkan termasuk memperkukuh Bantuan Kasih Johor (BKJ) secara bersasar, menyediakan skim bayaran deposit sewaan rumah untuk orang muda, meningkatkan akses pemilikan rumah subsidi menerusi dana RM100 juta dan meneruskan bantuan rumah pertama, masuk rumah serta bantuan sewa rumah.

Selain itu, katanya, BN turut menyasarkan pewujudan 200,000 peluang pekerjaan berkualiti untuk anak Johor, pengecualian bayaran lesen perniagaan tahun pertama kepada penjaja dan peniaga kecil serta penambahan dana pembiayaan mikro tanpa faedah sebanyak RM100 juta.

“Dalam aspek ekonomi, kita juga mahu melonjakkan penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Johor dalam rantaian bekalan pelaburan strategik, selain memperkukuh Dana Pendidikan Orang Muda Johor dengan peruntukan RM100 juta, meneruskan insentif mahasiswa anak Johor serta melaksanakan Program Semarak Isya’,” katanya.

Onn Hafiz menegaskan setiap tekad digariskan bukan sekadar janji pilihan raya, sebaliknya dibina berdasarkan rekod pentadbiran dan kemampuan kerajaan BN melaksanakan agenda pembangunan negeri.

“Ia bukan sekadar janji, tetapi dibina atas pengalaman mentadbir, rekod yang sudah dibuktikan dan usaha untuk membawa Johor lebih maju,” katanya.

Onn Hafiz turut menggesa rakyat Johor memberikan mandat penuh kepada BN bagi memastikan agenda pembangunan yang sedang dilaksanakan dapat diteruskan.

“Benih yang disemai kini mula membuahkan hasil. Jangan biarkan momentum kemajuan Johor terhenti di pertengahan jalan. Kita membina asasnya, kita melihat hasilnya, kini tiba masanya untuk kita menyempurnakannya.

“Ayuh Bangsa Johor! Berikan BN mandat penuh untuk meneruskan apa yang sudah dibuktikan demi Johor yang lebih maju, makmur dan sejahtera,” katanya.

Pada PRN Johor 2022, BN membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh 12 kerusi, Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi dan Muda satu kerusi.

Hari penamaan calon ditetapkan esok diikuti pengundian awal pada 7 Julai, manakala hari pengundian pada 11 Julai.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img