PAC sebulat suara setuju mulakan prosiding siasat Tabung Haji

JAWATANKUASA Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen bersetuju sebulat suara untuk memulakan prosiding bagi menyiasat kelemahan tadbir urus, kewangan dan pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH).

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, keputusan itu susulan penemuan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020 yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu.

Dalam satu kenyataan beliau berkata,  PAC menyifatkan pendedahan RCI berkenaan adalah amat serius dan boleh menghakis kepercayaan umat Islam di negara ini, sekiranya ia tidak ditangani dengan sewajarnya.

“Masih ada beberapa persoalan yang terus diperkatakan selepas Laporan RCI itu didedahkan dan kemudian dibahaskan di Dewan Rakyat dalam Sidang Khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos 2026.

“Sebagai sebuah Jawatankuasa Pilihan di bawah Parlimen yang bipartisan, PAC mempunyai bidang kuasa jelas seperti yang termaktub dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, Arahan Perbendaharaan dan Pekeliling Am Bilangan 1 Organisasi-organisasi Kementerian Jabatan Perdana Menteri adalah menjadi tugas dan tanggungjawab PAC untuk memulakan prosiding berhubung isu ini,” katanya.

Cadangan mengenai penubuhan badan khas bagi meneliti pengurusan TH akan dibincangkan dalam mesyuarat PAC, hari ini.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh semua ahli jawatankuasa kecuali Ahli Parlimen Seratok, Datuk Ali Biju.

Mas Ermieyati berkata, prosiding itu bukan bertujuan mengulangi siasatan RCI yang telah dijalankan secara menyeluruh, sebaliknya akan memberi tumpuan kepada status serta kemajuan sebenar pelaksanaan syor-syor RCI, selaras dengan fungsi teras jawatankuasa berkenaan.

Justeru menurutnya, tajuk, Terma Rujukan (TOR) dan senarai saksi berhubung prosiding TH masih belum ditetapkan buat masa ini dan jawatankuasa akan mengadakan mesyuarat khas bagi tujuan berkenaan.

“Bagi memastikan siasatan prosiding berhubung TH dilakukan secara komprehensif, telus dan berakauntabiliti, PAC akan menggunakan dokumen-dokumen seperti Laporan RCI, Laporan Ketua Audit Negara dan Laporan Audit Firma Audit PwC sebagai rujukan dalam prosiding ini.

“PAC komited untuk menjalankan siasatan ini secara telus dan adil demi memastikan akauntabiliti berterusan pengurusan wang awam dan mengembalikan keyakinan penuh pendeposit terhadap TH,” jelasnya.

Sementara itu beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah menegaskan, PAC mempunyai pengalaman dalam menyiasat isu-isu besar dan sensitif antaranya Prosiding 1MDB pada tahun 2016, Prosiding Tuntutan Tunggakan Bayaran Balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 Bilion (2019) dan Prosiding Perolehan Kapal Peronda Generasi Kedua (LCS) bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (2022).

Malah beliau berkata, prosiding PAC berhubung perolehan LCS dimulakan selepas jawatankuasa berkenaan menerima laporan daripada Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) pada tahun 2019.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here