KERAJAAN Negeri Sembilan mengarahkan 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dan dua penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada pentadbiran kerajaan negeri terdahulu memulangkan semula peruntukan yang diterima bagi tempoh Julai hingga September susulan pembubaran DUN pada 5 Jun lalu.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) hari ini selepas isu peruntukan berkenaan dibangkitkan pada sidang khas DUN baru-baru.
“Beberapa ADUN telah menyentuh soal kelulusan peruntukan sebanyak RM180,000 kepada ADUN-ADUN PH sebelum pembubaran DUN, yang mana kelulusan tersebut dibuat dalam MMK bertarikh 3 Jun.
“Maka pada 4 Jun, iaitu sehari sebelum pembubaran DUN, sejumlah peruntukan telah pun disalurkan ke dalam akaun ADUN-ADUN ini, yang melibatkan 17 ADUN dan dua penyelaras DUN, iaitu Labu dan Paroi,” katanya lapor Sinar Harian.
Bercakap dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco hari ini, Ismail berkata, daripada 17 ADUN itu, tujuh bertaraf Exco, manakala 10 lagi ialah ADUN biasa.
Katanya, setiap Exco dikehendaki memulangkan peruntukan berjumlah RM150,000 bagi tempoh Ogos hingga September, ADUN biasa sebanyak RM174,000 bagi tempoh Julai hingga September, manakala penyelaras DUN pula RM150,000 bagi tempoh Julai hingga September.
“Ini persoalan yang ditimbulkan dalam Dewan baru-baru ini berkenaan peruntukan pada Julai hingga September, sedangkan pada 5 Jun DUN telah dibubarkan.
“Tetapi bagi Ahli Exco dan Menteri Besar, mereka masih menjawat jawatan itu sehingga 31 Julai dan layak menggunakan peruntukan bagi bulan Julai, manakala yang lain-lain itu tidak lagi mempunyai kelayakan kerana DUN telah dibubarkan,” katanya.
Beliau berkata, Pejabat Menteri Besar akan menghantar surat bagi menuntut pemulangan peruntukan berkenaan dalam masa terdekat dan tempoh 30 hari diberikan dari tarikh surat untuk memulangkan semula wang berkenaan.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, tular surat sumbangan kewangan untuk kesejahteraan rakyat yang diberikan kepada ADUN PH berjumlah RM180,000 untuk bulan Julai hingga September yang bertarikh 4 Jun.





