Padah buat bising ketika tarawih: Polis sita 19 motosikal

TINDAKAN sekumpulan remaja samseng jalanan membuat bising ketika umat Islam menunaikan solat tarawih mengundang padah apabila diambil tindakan oleh polis di Taman Ampang Saujana di Ampang pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, operasi itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ampang bermula jam 9 malam sehingga 1 pagi.

“Dalam operasi itu polis menyita 19 motosikal dan sebanyak 40 keping saman dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan trafik.

“Kebanyakan motosikal yang disita melakukan kesalahan pengubahsuaian pada struktur kenderaan selain penunggang yang tiada lesen memandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Khairul Anuar, operasi itu dijalankan susulan aduan awam seterusnya sekumpulan pegawai dan anggota digerakkan ke kawasan tumpuan bagi membanteras aktiviti tidak berfaedah itu daripada berlarutan lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.

Katanya, ibu bapa dan penjaga diingatkan supaya sentiasa mengambil tahu serta memantau pergerakan anak-anak terutama kalangan remaja bagi mencegah mereka menunggang atau memandu tanpa lesen.

“Syarat utama untuk menunggang atau memandu kenderaan mestilah mempunyai lesen memandu yang sah, sekiranya tiada ia merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.

“Selain daripada tindakan kompaun kepada individu yang tiada lesen memandu, pemilik kenderaan juga boleh ambil tindakan di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img