Pas patut dominan bukan jadi ‘pak turut’ Wawasan dan BN

PAS sepatutnya menjadi parti yang dominan tanpa perlu mengikut telunjuk parti-parti lain, antaranya parti komponen Barisan Nasional (BN) dan Parti Wawasan Negara (Wawasan).

Penganalisis politik, Prof Dr Rusdi Omar berkata, tidak dinafikan Pas mempunyai keistimewaan tersendiri iaitu mampu melahirkan pemimpin muda yang boleh diketengahkan dan kekuatan Pas itu tidak ada pada parti lain.

“Bukan saya menidakkan kemampuan Pas namun sebagai sebuah parti yang menguasai empat buah negeri, Pas wajar berani membuat keputusan yang tegas bagi menampilkan kepimpinan berwibawa di peringkat nasional.

“Saya juga tidak menafikan tahap kelulusan dan pendidikan pemimpin-pemimpin Pas yang ada agak tinggi dan hebat, namun dalam arena politik yang lebih luas, masih banyak yang perlu dipelajari untuk memimpin peringkat kerajaan,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.

Mengulas mengenai kekuatan jangka panjang, Rusdi mengingatkan bahawa kejayaan besar Pas merangkul kemenangan besar di empat negeri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebahagian besarnya didorong oleh limpahan sokongan padu daripada ahli-ahli Bersatu.

Sehubungan itu, kata beliau, sekiranya pada PRU-16 nanti Pas tidak lagi bersama Bersatu, parti itu dikhuatiri mungkin kehilangan blok sokongan kritikal tersebut.

“Faktor inilah yang mendorong mengapa Pas kini perlu bertindak cermat dan meneroka ruang hubungan serta cuba berbaik-baik dengan BN bagi memastikan kelangsungan sokongan pengundi Melayu terus terpelihara,” tambahnya.

Ditanya mengenai keterampilan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang dianggap calon sesuai menjadi bakal Perdana Menteri akan datang, Rusdi mengakui kehebatan dan kelayakan yang dimiliki oleh Menteri Besar Terengganu itu.

Walau bagaimanapun, beliau berpandangan masih banyak sepak terajang politik yang perlu ditempuhi sebelum Ahmad Samsuri benar-benar bersedia diangkat sebagai pemimpin nombor satu negara.

“Pas harus berani membuat keputusan sendiri secara mandiri, mengukuhkan dominasi dalam gabungan, dan tidak sekadar menjadi “pak turut” kepada kemahuan rakan-rakan kerjasama yang lain,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here