Pengasuh mengaku tidak bersalah abai bayi 10 bulan hingga maut

PENGASUH berusia 25 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini, atas pertuduhan mengabaikan bayi lelaki berusia 10 bulan sehingga menyebabkan kematiannya pada 19 Oktober lalu.

Nurfitrah Mohd Raziff bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang diamanahkan menjaga bayi itu didakwa mengabaikannya sehingga menyebabkan kematian mangsa di sebuah rumah di Sungai Dua, Butterworth, antara jam 5.40 pagi hingga 10.15 pagi pada 19 Oktober lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, lapor Harian Metro.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadhirah Abdul Rahi, manakala tertuduh diwakili peguam, Y Yogeswaran.

Ketika prosiding, pihak pendakwaan membantah permohonan jaminan, namun mencadangkan syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis sebulan sekali sekiranya jaminan dibenarkan.

Yogeswaran memohon jaminan dengan alasan anak guamnya berpendapatan antara RM1,800 hingga RM2,000 sebulan serta bertanggungjawab menyara tiga anaknya.

Beliau berkata, tertuduh turut memberikan kerjasama kepada polis sepanjang siasatan dan tidak membantah syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan pasportnya diserahkan sekiranya memilikinya.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 November ini bagi penyerahan dokumen.

Pada 20 Oktober lalu, media melaporkan pengasuh itu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kematian bayi berkenaan yang ditemukan dalam keadaan lemah di rumahnya.

Ibu mangsa menghantar bayi itu ke rumah pengasuh pada jam 5.40 pagi dalam keadaan sihat.

Pengasuh kemudian meminta bantuan suaminya melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebelum bayi itu dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Dua untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bagaimanapun, bayi berkenaan meninggal dunia sebelum tiba di klinik itu.

Laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan di kepala yang konsisten dengan trauma akibat hentakan objek tumpul.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here