Pas tolak cadangan adakan PRN Terengganu: Bukan cara uji keikhlasan – Tuan Ibrahim

PAS menolak keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Terengganu dan menegaskan bahawa pilihan raya tidak sepatutnya dijadikan alat untuk mengukur keikhlasan sesuatu kerjasama politik.

Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tiada keperluan untuk Terengganu mengadakan pilihan raya buat masa ini.

Beliau mengulas cadangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan semalam supaya satu daripada sebuah negeri di bawah gabungan ‘SG4’, khususnya Terengganu mengadakan PRN bagi menguji komitmen rakan politik terhadap kerjasama,

SG4 atau State Government 4 adalah platform kerjasama yang menggabungkan empat negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.

Tuan Ibrahim berkata, keadaan di negeri berkenaan kekal stabil, selain prestasi kerajaan negeri itu berada pada tahap yang sangat baik.

“Tiada keperluan untuk Terengganu mengadakan PRN. Keadaan di sana stabil dan prestasi kerajaan negeri sangat baik,” katanya, lapor NST.

Semalam, ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, Mohamad mencadangkan supaya sebuah negeri di bawah gabungan SG4, khususnya Terengganu mengadakan PRN bagi menguji keikhlasan bakal rakan politik dalam menjalin kerjasama.

Beliau dilaporkan berkata, langkah itu akan menunjukkan sama ada kerjasama atas nama penyatuan Melayu-Islam itu mencerminkan kesediaan sebenar untuk berkongsi kuasa atau sekadar memberi keuntungan kepada satu pihak sahaja.

Kenyataan Mohamad itu menyusul selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan mengenai kemungkinan kerjasama dengan Pas dalam ucapan dasarnya, apabila menyatakan perubahan warna akan berlaku “apabila biru bertemu hijau.”

Mohamad berkata, ujian berkenaan bertujuan mengukur kesediaan bakal rakan politik untuk berkongsi kerusi secara adil, sambil menegaskan UMNO tidak sepatutnya menjadi satu-satunya pihak yang bersedia bertoleransi.

Tuan Ibrahim dalam pada itu berkata, pilihan raya tidak sepatutnya dijadikan ukuran keikhlasan kerjasama politik, sebaliknya ia adalah satu mandat yang diberikan oleh rakyat.

“Pilihan raya bukan alat untuk mengukur keikhlasan kerjasama politik. Ia adalah mandat daripada rakyat. Selagi tiada keperluan mendesak, rakyat tidak sepatutnya dibebankan dengan tekanan politik dan kos penganjuran PRN,” katanya.

Beliau menjelaskan, PRN di Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini serta pilihan raya di Melaka akan datang diadakan disebabkan tempoh penggal yang telah tamat atau wujudnya keperluan berbuat demikian.

Katanya, berbanding mengadakan PRN yang tidak diperlukan, adalah lebih baik sekiranya Parlimen dibubarkan bagi mendapatkan semula mandat baharu daripada rakyat.

“Tindakan kini terletak di tangan Barisan Nasional, Gabungan Rakyat Sabah dan Gabungan Parti Sarawak,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, PN sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan sudah mengarahkan jentera pilihan rayanya supaya berada dalam keadaan siap sedia.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata, perbezaan politik tidak sepatutnya membawa kepada permusuhan, sebaliknya perlu ditangani dengan persefahaman, rasa hormat dan sikap adil.

“Perbezaan bukan alasan untuk kita bermusuh antara satu sama lain. Sebaliknya perbezaan menuntut kita belajar untuk saling memahami, menghormati dan berlaku adil,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyatakan secara khusus sama ada ia merujuk kepada cadangan UMNO untuk mengadakan PRN di Terengganu atau sebaliknya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here