Pasukan keselamatan Thailand tembak mati 9 penyeludup dadah di Chiang Rai

SEMBILAN  suspek penyeludup dadah terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan di kawasan hutan di daerah Mae Fa Luang, Chiang Rai, Thailand, malam Isnin.

Dalam kejadian itu, pihak berkuasa turut merampas 272 kilogram methamphetamine kristal (syabu).

Pasukan terdiri daripada anggota tentera, polis dan pegawai kerajaan yang memeriksa lokasi kejadian pada Selasa menemukan 16 beg galas yang telah diubah suai dan dipenuhi dadah, selain sembilan mayat suspek.

Komander unit khas Thap Chao Tak di bawah Pasukan Petugas Pha Muang, Kolonel Suphan Roiphut, berkata kejadian berlaku selepas anggota tentera mengesan sekumpulan antara 15 hingga 17 lelaki berjalan melalui kawasan hutan di Kampung Pang Mahan, Moo 8, Tambon Therd Thai, kira-kira jam 8.10 malam.

Menurutnya, anggota keselamatan kemudian mengarahkan kumpulan itu berhenti untuk pemeriksaan, namun mereka melepaskan tembakan menggunakan senjata api yang tidak dikenal pasti.

“Tembak-menembak berlaku kira-kira 10 minit sebelum kumpulan itu berundur,” katanya lapor Bangkok Post.

Tiada anggota tentera cedera dalam kejadian berkenaan. Pihak berkuasa kemudian mengerahkan tiga pasukan operasi tambahan untuk mengawal dan mengamankan kawasan terbabit.

Komander Pasukan Petugas Pha Muang merangkap pengarah Pusat Operasi Membanteras Dadah, Mejar Jeneral Sathit Waiyanon, pada Selasa mengarahkan semua unit supaya terus berwaspada bagi membanteras kegiatan penyeludupan dadah di sepanjang kawasan sempadan.

Berdasarkan risikan pasukan berkenaan, kumpulan penyeludup masih berusaha membawa masuk dadah ke Thailand melalui daerah Mae Fa Luang sebelum bahan terlarang itu diedarkan ke beberapa wilayah lain di negara tersebut.

Pasukan Petugas Pha Muang sebelum ini melaporkan bahawa 52 suspek penyeludup dadah terbunuh dalam pertempuran dengan tentera di kawasan sempadan utara Thailand antara 1 Oktober tahun lalu hingga 31 Ogos tahun ini.

Dalam tempoh sama, pihak berkuasa merekodkan 499 operasi berjaya menyekat cubaan penyeludupan dadah, selain menahan 482 suspek, kata Sathit.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here