PATUNG dibina polis bagi simulasi mendapati jatuhan tanpa daya tolakan adalah hampir sama dengan kedudukan jasad Zara Qairina Mahathir ditemukan dalam siasatan awal, kata saksi.
Saksi kelima prosiding inkues kes kematian Zara, Maidon Bernadus, 52, dari Bahagian Forensik (D10) Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, berkata simulasi jatuhan dibuat pada 3 Ogos, sekitar 3 pagi di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar.
Katanya, bagi memastikan berat fizikal patung itu menyerupai berat si mati, pemberat diletakkan mengelilingi pinggang hingga ke bawah menggunakan batu-bata, sehingga mencapai kira-kira 53kg.
“Ketinggian patung adalah lebih kurang 180cm, iaitu melebihi 27cm daripada ketinggian fizikal si mati (153cm).
“Pembinaan semula tempat kejadian telah dijalankan pada anggaran masa sebenar insiden berlaku, iaitu sekitar 3 pagi, dengan pencahayaan terang hasil daripada lampu bangunan asrama serta lampu tambahan forensik,” katanya menurut Berita Harian di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.
Maidon berkata, dua jenis simulasi dilakukan, pertama patung dijatuhkan secara tegak lurus dari koridor aras tiga berhadapan tandas tanpa sebarang daya tolakan dan hasilnya, patung mendarat pada jarak kira-kira 2.14m dari dinding bangunan.
Dalam simulasi kedua pula, katanya, patung dijatuhkan dengan sedikit tolakan ke hadapan dan ujian itu menunjukkan patung mendarat lebih jauh, iaitu kira-kira 3.45m dari dinding asrama.
“Secara keseluruhan, hasil daripada simulasi yang telah saya bersama pasukan CSI lakukan mendapati, simulasi pertama iaitu jatuhan patung ke bawah tanpa daya tolakan atau dorongan adalah hampir dengan kedudukan mangsa melalui siasatan awal yang telah dilaksanakan pegawai penyiasat melalui taklimat ringkas yang diberikan pada awalnya,” katanya.
Beliau berkata, proses simulasi berakhir sekitar 6.30 pagi sebelum laporan rasmi disediakan melalui Sistem Forensik Evidence Management System (FEMS) polis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat kes.
Inkues kes kematian Zara dipengerusikan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan, yang bertindak selaku koroner.
Prosiding dikendalikan Timbalan Ketua Pendakwaan II, Badius Zaman Ahmad bersama-sama timbalan pendakwa raya yang bertindak sebagai pegawai pengendali iaitu Nahra Dollah, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia Sawayan, dan Dacia Jane Romanus.
Di barisan pihak berkepentingan peguam Ibu Zara, Noraidah Lamat diwakili Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.
Pihak berkepentingan mewakili bapa Zara, Mahathir Hashim @ Marikin diwakili peguam Sherzali Herza Asli, Nur Rafeeqa Afdul Mutalib, dan Clarice Vyonne Conrad.
Pihak berkepentingan peguam Ram Singh dan Prem Elmer Ganasan mewakili seorang daripada remaja tertuduh terbabit dalam kes buli Zara.
Turut menjadi pihak berkepentingan peguam Abdul Fikry Jaafar Abdullah bersama Fareez Salleh yang mewakili empat lagi remaja tertuduh kes buli Zara.
Zara, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolah sekitar 4 pagi.



