Polis pijak kepala: Ahli keluarga buat laporan, Saifuddin arah siasatan lengkap

AHLI keluarga kepada seorang lelaki yang kepalanya dipijak oleh seorang anggota polis ketika ditahan di hadapan sebuah kedai aksesori motosikal di Kulim baru-baru ini, tampil membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Keluarga kepada lelaki yang terlibat dalam kejadian tangkapan polis yang tular dalam media sosial itu meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tata tertib segera dan menjalankan siasatan lanjut ke atas anggota yang terlibat.

KELUARGA seorang lelaki yang dipijak di kepala oleh seorang anggota polis membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim memohon siasatan segera dilakukan. GAMBAR: Kulim Media TV

Menerusi laporan itu, pengadu mendakwa melihat rakaman video yang tular di Facebook melibatkan adik kandungnya dan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan anggota terbabit kerana didakwa menggunakan kekerasan yang disifatkan tidak sepatutnya.

Rakaman video itu tular dalam media sosial berdurasi 29 saat memaparkan kejadian membabitkan tindakan `ganas’ beberapa anggota polis dan seorang suspek di hadapan sebuah kedai aksesori motosikal di Jalan Tunku Putra, Kulim.

Dalam rakaman itu, seorang lelaki dilihat ditarik daripada motosikal sehingga terjatuh sebelum kepalanya dipijak oleh salah seorang anggota polis berkenaan.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengarahkan PDRM melaksanakan siasatan menyeluruh bagi meneliti kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan kejadian tersebut.

Menurutnya, beliau sudah menghubungi Ketua Polis Kedah berhubung perkara berkenaan.

DATUK Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media Majlis Menandatangani Kontrak Perolehan Multi Purpose Mission Ship (MPMS) kedua untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, di Putrajaya hari ini

“Sebarang tindakan penguatkuasaan oleh pegawai polis, mereka sudah ada satu SOP yang sedia maklum oleh semua anggota polis yang menjalankan tugas mereka.

“Tentunya dalam perkara ini, saya sudah pun menghubungi Ketua Polis Kedah untuk menyegerakan siasatan, semak sama ada ada kepatuhan tata cara dari segi penguatkuasaan (dipatuhi),” katanya ketika ditemui dalam sidang media Majlis Menandatangani Kontrak Perolehan Multi Purpose Mission Ship (MPMS) kedua untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, sebarang tindakan susulan termasuk oleh unit integriti polis bergantung kepada hasil siasatan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat penilaian terburu-buru hanya berdasarkan klip video pendek yang tular dalam media sosial.

“Jika perlu, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) akan dilibatkan untuk menilai sama ada terdapat sebarang pelanggaran. Namun, kita perlu meneliti semua aspek secara menyeluruh terlebih dahulu.

“Apa yang kita lihat hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan insiden. Kita juga perlu mengambil kira apa yang berlaku sebelum itu.

“Adakah suspek bertindak agresif? Adakah dia melawan arus? Adakah terdapat cubaan merempuh kenderaan polis? Semua faktor ini perlu disiasat,” katanya.

Saifuddin menegaskan, pendekatan seimbang perlu diambil bagi memastikan akauntabiliti tanpa menjejaskan moral anggota polis.

Justeru, tindakan tidak boleh dibuat secara melulu kerana ia berisiko menjejaskan semangat anggota penguat kuasa yang menjalankan tugas, khususnya ketika berdepan suspek berpotensi agresif.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img