Pecah rumah di Bukit Antarabangsa, mangsa kerugian RM25,000

POLIS sedang menyiasat kejadian sebuah rumah di Taman Wangsa Ukay, Bukit Antarabangsa di Ampang Jaya dipecah masuk mengakibatkan pelbagai barangan bernilai kira-kira RM25,000 dilarikan, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, kejadian itu disedari mangsa selepas memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) rumahnya ketika berada di tempat kerja kira-kira jam 4 petang.

Beliau berkata, rakaman CCTV menunjukkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi berhenti di hadapan rumah pengadu kira-kira jam 12 tengah hari.

“Suspek lelaki yang tidak dikenal pasti kemudian turun dari kereta sebelum memecah masuk ke rumah mangsa dan melarikan pelbagai jam tangan, barang kemas, sebuah komputer riba serta kad kredit.

“Kerugian dianggarkan kira-kira RM25,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Anuar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Beliau memberitahu, jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan dikenakan denda.

Terdahulu, rakaman CCTV kejadian itu turut tular dalam media sosial.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here