SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Energy Commission of Sabah (ECoS) menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh integriti dan tadbir urus sektor kawal selia tenaga di Sabah.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, kerjasama itu membolehkan pihaknya berkongsi kepakaran dalam aspek pengoperasian, pencegahan dan pendidikan bagi membantu ECoS melaksanakan tanggungjawab selaras dengan peraturan serta undang-undang ditetapkan.
Menurutnya, pegawai ECoS juga berpeluang menyertai program latihan anjuran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), termasuk kursus Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO).
“Langkah ini bertujuan melahirkan pegawai yang berkelayakan, kompeten dan beretika untuk merancang, melaksanakan serta memantau inisiatif integriti secara berkesan demi memupuk budaya integriti serta mencegah rasuah, salah laku dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat delegasi ECoS di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi ECoS, Ir Ts Ridwan Saham; Pengarah Bahagian Urus Tadbir Sektor Awam SPRM, Sudirman Aban; Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Hisyam Mohd Yusoff serta anggota Suruhanjaya ECoS.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir Abdul Nasser berkata, MoU berkenaan akan memberi penekanan kepada beberapa bidang utama termasuk penguatkuasaan, pembangunan kapasiti, latihan dan kesedaran antirasuah serta pengurusan risiko rasuah.
Katanya, kerjasama itu juga bertujuan memperkukuh mekanisme pencegahan rasuah dalam pelaksanaan fungsi kawal selia ECoS bagi memastikan sektor tenaga di Sabah diuruskan secara telus dan berintegriti.
Menurut beliau, usaha berkenaan dilihat sebagai langkah mempertingkat keupayaan institusi kawal selia melalui perkongsian kepakaran serta pembangunan kompetensi pegawai, sekali gus menyokong pelaksanaan tadbir urus yang lebih berkesan.





