SEORANG pegawai trafik udara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Tawau maut selepas motosikal Yamaha RXZ ditunggangnya dipercayai hilang keseimbangan sebelum terjatuh dan terperosok di bawah Toyota Camry di Batu 3, Jalan Apas, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa lelaki tempatan berusia 55 tahun mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan bergerak dalam arah yang sama ketika kejadian.
Katanya, Toyota Camry dipandu lelaki tempatan berusia 28 tahun dari arah Kampung Titingan menuju ke Batu Payung, manakala motosikal ditunggang mangsa dari arah Bandar Tawau menuju ke Taman Millenium.
“Ketika Toyota Camry meneruskan perjalanan sebaik lampu isyarat di persimpangan Batu Hijau, motosikal ditunggang mangsa berada di sebelah kanan kereta dipercayai hilang keseimbangan.
“Ia disebabkan keadaan permukaan jalan tidak rata,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rosdi berkata, pemeriksaan awal di lokasi mendapati lorong sebelah kanan jalan baru diturap dan mempunyai aras lebih tinggi berbanding lorong sebelah kiri yang belum diturap.
“Keadaan itu dipercayai menyebabkan mangsa hilang keseimbangan sebelum terjatuh di hadapan Toyota Camry.
“Pemandu kereta tidak sempat membrek menyebabkan mangsa dan motosikalnya terperosok di bawah bahagian hadapan kenderaan,” katanya.
Pemandu Toyota Camry tidak mengalami kecederaan.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tawau untuk proses bedah siasat.





