SEORANG pekerja luar pesisir (offshore) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 18 tahun lima bulan di sebuah hotel, Ahad lalu.
Tertuduh, Azmie Aziz, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu antara jam 3.30 pagi hingga 6 pagi pada 19 April lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Hazwan Md. Yatin, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Hafizah Husna Elahab@Lahab.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan dua penjamin tempatan serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 9 Jun depan.
Sementara itu, sebelum ini dilaporkan suspek ditahan selepas dipercayai membawa mangsa keluar dari sebuah pusat hiburan di Kubota Central dalam keadaan khayal sebelum dibawa ke hotel.
Mangsa mendakwa hanya menyedari dirinya dirogol ketika berada di hotel berkenaan sebelum tampil membuat laporan polis pada hari sama.


