MALAYSIA dikenal pasti sebagai lokasi transit sindiket dadah antarabangsa dan bukannya negara pengeluar bahan terlarang tersebut.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jumlah itu direkodkan setakat Mac lalu, sekali gus menunjukkan trend peningkatan berbanding tempoh sama sebelum ini.
“Malaysia sejak dulu lagi adalah negara transit. Kita bukan negara pengeluar, tapi negara transit dan ada juga sebilangan kecil itu yang diguna di Malaysia.Kalau ikut statistik tahun lalu, jumlah rampasan dadah dan racun bernilai RM3.1 bilion.
“Bagi tahun ini saja, sehingga Mac lalu, RM915 juta (nilai dadah) yang dirampas. Ini baru tiga bulan pertama, jadi kita bukan pengeluar, tetapi negara transit,” katanya kepada media selepas Forum Perdana Pertubuhan Kesedaran Jenayah dan Keselamatan Awam (CCPSS), Georgetown, hari ini.
Menurutnya, pihak polis kini mempergiat tindakan di bawah jenayah terancang termasuk menggunakan peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi mengekang kegiatan sindiket.
“Sekarang kita dalam usaha guna pendekatan sama, ambil tindakan di bawah jenayah terancang supaya kita dapat tangkap yang terbabit dalam pengedaran, sama ada dia ketua sindiket, transporter atau yang proses dadah dan sebagainya.
“Kalau tidak, kita hanya rampas dadah itu, tetapi sindiket atau ketua sindiket ini biasanya terlepas,” katanya sambil menambah dadah dibawa masuk melalui pelbagai laluan di negara ini.
Beliau berkata, dadah diseludup masuk melalui pelbagai laluan termasuk darat, laut dan udara, dengan kerjasama rapat bersama negara jiran seperti Thailand bagi memperkukuh kawalan sempadan.
Ayob Khan berkata, negeri seperti Kedah dan Pulau Pinang antara lokasi dikenal pasti sebagai transit utama berikutan kedudukannya berhampiran sempadan.


