Pelajar maut terjatuh bangunan: KPM sahkan tiada unsur buli

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) setakat ini mengesahkan tiada unsur buli dikesan dalam insiden seorang pelajar perempuan tingkatan empat yang meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh bangunan di sebuah sekolah menengah di Sendayan, Seremban hari ini.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, pelajar berusia 16 tahun itu juga dilaporkan berada dalam keadaan baik selain tidak menunjukkan sebarang elemen luar biasa sebelum kejadian tersebut.

Menurut beliau, bagaimanapun Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah diarahkan untuk meneliti kes ini untuk kenal pasti punca yang boleh membawa kepada kemalangan ini.

“Setakat ini semasa saya berbual dengan ibu bapa kepada arwah sebentar tadi, tidak ada berbangkit tentang isu buli dan sebagainya.

“Mengikut apa yang dimaklumkan, arwah berada dalam keadaan baik seperti biasa ketika hadir ke sekolah pagi tadi.

“Buat masa ini tiada maklumat yang menunjukkan pelajar berkenaan mempunyai sebarang rekod perubatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi keluarga pelajar itu yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Unit Forensik Hospital Rembau, malam ini.

Media sebelum ini melaporkan, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung pelajar berkenaan yang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan sebuah sekolah menengah di Sendayan pada jam 10.48 pagi.

Menurut Alzafny, kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan polis meneruskan siasatan lanjut termasuk mendapatkan keterangan beberapa saksi serta laporan bedah siasat.

Mohd Azam dalam pada itu berkata, KPM menyerahkan siasatan lanjut kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung insiden berkenaan selain menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar atau rakaman kejadian bagi menghormati privasi keluarga selain mengelakkan gangguan terhadap emosi mereka.

Pada masa sama, beliau berkata, KPM akan menyediakan sokongan psikososial kepada ahli keluarga, rakan sekelas dan guru yang terkesan dengan kejadian itu.

“Kita berharap masyarakat dapat bersama-sama memberikan sokongan kepada keluarga arwah dengan mendoakan yang baik-baik dan menghormati privasi mereka dalam tempoh yang mencabar ini,” katanya.

Mohd Azam berkata, kejadian berlaku pada hari pelaporan akademik sekolah yang bertujuan memaklumkan ibu bapa mengenai perkembangan dan pencapaian anak masing-masing dengan bapa mangsa turut berada di sekolah.

“Arwah dikatakan meminta izin ke tandas sebelum dimaklumkan berkenaan kejadian itu. Saya harap keluarga reda dengan kejadian ini,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img